Most Read
Most Commented
Read more like this

Sama ada disedari atau tidak, kain pemidang berhubung isu kenaikan harga minyak yang digantung oleh Pergerakan Pemuda Umno Negeri Terengganu sebenarnya mendedahkan lagi sifat mereka yang suka berbohong dan bercakap tak serupa bikin.

Sejak beberapa minggu lalu, beberapa helai pemidang itu dinaikkan oleh Pemuda Umno negeri di beberapa lokasi stragetik di sekitar Kuala Terengganu.

Cuba kita perhatikan satu persatu bait-bait dalam pemidang itu. Kemudian fikirkanlah pula rasional menolak hujah-hujah yang Pemuda Umno kemukakan itu. 'Ayat pertama berbunyi: Golongan Muda Bukan Peminta Untuk Keselesaan Semasa'. Sanggahannya:

Golongan muda (juga mudi) kini terlalu nipis jatidiri mereka. Undi mereka amat mudah dibeli. Pilihanraya umum lalu membuktikan bahawa undi golongan ini antara faktor utama kemenangan Barisan Nasional di Terengganu. Mengapa mereka mengundi BN? Kerana apabila mereka meminta habuan, BN telah mengumpan mereka.

Para penggerak utama Pemuda Umno Terengganu sendiri pula apa kurangnya? Mereka semua hidup dengan jasa baik kontrak atau tender kerajaan. Setiap kali bila kontrak hendak keluar, mereka berlumba-lumba meminta diberikan kontrak atau tender.

Ayat kedua menyebutkan: 'Masa Depan Golongan Muda Tidak Boleh Diperjudikan Untuk Kepentingan Politik Sempit'.

Kenyataan ini betul dan patut diterima. Cuma siapa yang memperjudikan masa depan golongan muda untuk kepentingan politik sempit itu perlukan penghuraian. Memperjudikan membawa maksud mempertaruhkan sesuatu yang berharga untuk mendapat pulangan yang belum tentu untung atau rugi. Dalam konteks ayat tadi, yang diperjudikan ialah masa depan golongan muda. Sudah tentu parti politik yang mengajak rakyat beriman dan bertaqwa kepada Allah seperti PAS tidak wajar dianggap memperjudikan mereka.

Sebaliknya BN, sanggup melakukan dan memberi apa jua yang dihajati golongan muda, terutama dari sudut hiburan dan kebebasan, sekali pun bercanggah dengan agama, demi mendapatkan sokongan dan undi golongan itu. Bukankah itu untuk kepentingan politik sempit namanya?

Ayat ketiga pula menyatakan: 'Golongan Muda Bangkit Menolak Subsidi Buta'. Dalam konteks isu semasa, subsidi di situ merujuk kepada subsidi petrol dan diesel yang ditanggung oleh kerajaan. Kenyataan itu membawa beberapa implikasi.

Benarkah golongan muda tidak suka kepada subsidi? Tadi telah dibuktikan bahawa mereka adalah antara golongan yang suka meminta dan mengharapkan habuan kerajaan.

Siapa yang bertanggungjawab selama ini memupuk budaya subsidi di kalangan rakyat, kalau bukan BN-Umno? Pemberian wang ehsan RM300 setahun adalah satu bentuk subsidi juga. Rakyat diumpan dengan pelbagai kemudahan lain jika menyokong BN.

Bahkan, gejala politik wang dalam Umno sendiri adalah bukti betapa mentaliti mereka sudah disemat dengan sikap siapa yang dapat beri benda, dialah aku sokong. Itulah budaya subsidi namanya.

Melabelkan subsidi minyak sebagai subsidi buta bererti menghina dan mengutuk tindakan kerajaan sebelum ini. Kecil hati Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana dialah yang bertanggungjawab sebagai perdana menteri sebelum ini meluluskan subsidi buta itu.

Kenyataan itu juga menghina dan merendah-rendahkan martabat rakyat keseluruhannya. Seolah-olah rakyat sebagai golongan merempat, meminta-minta simpati kerajaan. Istilah subsidi buta itu memberi pengertian sama seperti gaji buta, perbuatan menikmati habuan tanpa melakukan kerja. Betulkah kita semua macam tu?

Ayat terakhirnya menyimpulkan: Kami Menyokong Ketegasan Kerajaan Dalam Isu Menangani Subsidi Petrol. Ia juga boleh dipersoalkan:

Sebagai parti yang memperjuangkan Melayu dan memartabatkan bahasa Melayu, Umno perlu cermat menggunakan bahasa. Struktur dan tata bahasa ayat itu salah. Sepatutnya disebut dalam menangani isu, bukan sebaliknya.

Ketegasan kerajaan BN adalah suatu yang sangat relatif. Ia ibarat hangat-hangat tahi ayam. Sekejap ia tegas memburu pesalah trafik, sekejap lagi ia memberikan diskaun. Sekejap ia menyiarkan nama peminjam pelajaran yang liat membayar hutang, sekejap kemudian ia melupuskan sebahagian hutang itu.

Maka kalau sekarang ia bertegas akan bertindak kepada peniaga dan pengusaha pengangkutan yang menaikkan harga barangan dan tambang, tunggu saja beberapa ketika lagi, ketegasan itu akan hilang entah ke mana.

Kita percaya Pemuda Umno Negeri Terengganu tahu segala hujahnya tadi adalah pembohongan dan penuh penyelewengan fakta. Tetapi pemidang itu dinaikkan juga. Apa lagi kalau bukan kerana mahu mengampu?


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS