Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Penjelasan penahanan 3 lelaki suku Temiar di Hulu Perak

Merujuk kepada penahanan tiga lelaki Temiar pada 20 Julai lalu, semakan Jabatan Perhutanan Perak mendapati ia adalah susulan daripada sekatan dibuat sekumpulan Orang Asli Sungai Papan, Hulu Perak terhadap syarikat pembalakan pada 17 Julai.

Semakan jabatan juga mendapati sekatan sekatan itu dibuat di atas tanah milik Felda yang jaraknya 25km dari petempatan Orang Asli Sungai Papan.

Tujuan sekatan itu dibuat bagi menghalang aktiviti pembalakan dalam Hutan Simpan Air Chepam yang didakwa sebagai tanah adat milik mereka.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat syarikat pembalakan bernombor GRIK/002396/19 bertarikh 17 Julai 2019.

Maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) tentang penahanan tiga lelaki terbabit adalah kerana disyaki menjadi dalang sekatan manusia.

Semakan menunjukkan ketiga-tiga lelaki itu bukan berasal dari Sungai Papan, sebaliknya dari Kampung Cunex (kampung serpihan daripada RPS Dala).

Lanjutan daripada sekatan itu, berlaku ketegangan antara pelesen dan masyarakat Orang Asli Sungai Papan pada 18 Julai 2019.

Bagi menangani isu berkenaan, rundingan di antara pihak pelesen, Orang Asli Sungai Papan, Jabatan Perhutanan Perak dan PDRM diadakan di pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Ipoh.

Ia dipengerusikan oleh Pengarah Jakoa Perak/Kedah pada 19 Julai 2019.

Bagaimanapun, Jabatan Perhutanan Perak sekali lagi dimaklumkan bahawa satu laporan polis (bernombor GERIK/002428/19 bertarikh 19 Julai 2019) dibuat sekali lagi oleh pihak pelesen bertujuan menjaga keselamatan pekerja, jentera dan memohon bantuan keselamatan daripada PDRM untuk merobohkan sekatan yang dibina. 

Pihak Jabatan Perhutanan Perak tidak terlibat dalam kerja merobohkan sekatan pada 20 Julai 2019.

Semakan mendapati syarikat pembalakan tersebut merupakan syarikat yang diberi kelulusan untuk mengusaha hasil kawasan seluas 80 hektar di Hutan Simpan Air Chepam, Hulu Perak.

Pelesen itu selesai menjalankan pengusahasilan (seluas 38 hektar – Petak 1) dan masih lagi berbaki 42 hektar yang belum diusahasilkan.

Jalan masuk ke Petak 2 yang terletak di Hutan Simpan Air Chepam ini yang menjadi pertikaian dan menjadi lokasi sekatan dibina oleh Orang Asli Sungai Papan.

Untuk makluman, sehingga Jun lalu Jabatan Perhutanan Perak mengeluarkan sejumlah 55 lesen pengusaha hasilan dengan keluasan 4,083 hektar dengan tetap mematuhi Catuan Tebangan Tahunan (CTT) sebanyak 7,744 hektar bagi tahun 2019.

Kawalan ini adalah selaras dengan pematuhan terhadap CTT seperti yang diputuskan oleh Majlis Tanah Negara (MTN), sekali gus menjamin sumber bekalan kayu secara berterusan dalam kuantiti yang stabil kepada industri berasas kayu di Perak.

Untuk rekod, Jabatan Perhutanan Perak juga berjaya mengekalkan Sijil Pengurusan Hutan (MC&I: Hutan Asli) semenjak  2001 sehingga kini.

Dalam pensijilan ini, jabatan perlu mematuhi sembilan kriteria yang ditetapkan dan akan dinilai setiap tahun oleh penilai audit bebas.

Jabatan Perhutanan Perak sentiasa memantau dan memastikan pihak pelesen mematuhi semua prosedur, syarat dan tatacara yang ditetapkan. Pematuhan terhadap lebar minimum kawasan zon penampan alur air, alur air sentiasa bebas daripada pencemaran oleh sisa pembalakan dan bahan buangan, memastikan pokok ibu sebanyak empat pokok sehektar, pokok tebangan tidak melebihi 12 pokok/hektar, memastikan pokok perlindungan sebanyak 32 pokok untuk makanan fauna juga tidak ditebang dan dimusnahkan semasa aktiviti pembalakan serta memastikan kawasan pengusaha hasilan tidak melebihi ketinggian 1,000 meter.

Bagi memastikan pihak pelesen mematuhi syarat dan spesifikasi pengusaha hasilan yang ditetapkan, pemantauan dan pengawalan ke atas aktiviti itu dilaksanakan secara bulanan oleh pegawai hutan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelia sesuatu kawasan.


Kenyataan ini dikeluarkan Jabatan Perhutanan Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS