Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
K'jaan perlu pertingkat usaha perangi fikrah keganasan

Saya baru selesai menghadiri Persidangan Nilai-nilai Wasatiyah dan Kesederhanaan Dalam al-Quran dan al-Sunnah anjuran Muslim World League (MWL) dari 27 hingga 30 Mei 2019 di kota suci Makkah al-Mukarramah dan masih berada di bumi barakah ini.

Persidangan kali ini disertai oleh lebih 1000 perwakilan daripada 137 buah negara. Dengan pembentangan 27 kertas kerja, Persidangan tersebut diakhiri dengan pengisytiharan Wathiqah (Dokumen) Makkah al-Mukarramah yang menekankan kepentingan ajaran Islam yang sederhana diarusperdanakan oleh para pendakwah Islam.

Hal ini demi mengekang benih-benih keganasan dalam doktrin agama dan tindakan-tindakan keganasan yang dikaitkan dengan segelintir pemuda Islam akhir-akhir ini.

Antara perkongsian menarik dalam pembentangan ialah eksperimen dan program amali untuk memperdanakan wasatiyah dan kesederhanaan dalam masyarakat Islam khususnya pemuda.

Ia dibentangkan oleh Prof Dr Abdullah Ahmad al-Jabari dari Morocco, Dr Muhammad Zaitun Rosmin dari Indonesia, Dr Ali Abdel Azim Ali dari Mesir dan Dr Said Muhammad Baba Sila dari Mali.

Mereka sepakat mengatakan bahawa para pemuda yang terjebak dengan doktrin keganasan atas nama Islam adalah mangsa. Justeru para pemuda perlu dibantu dengan menarik mereka kepada pemahaman yang benar dalam agama.

Kelalaian terhadap tanggungjawab membimbing para pemuda ini menyebabkan mereka diperdaya oleh pihak-pihak berkepentingan untuk meracuni pemikiran agama mereka sehingga terjebak dengan keganasan atas nama agama seperti puak Khawarij yang mudah menghukum, mengkafirkan bahkan membunuh orang lain.

Khayalan negara utopia

Hal yang sama sedang berlaku dalam negara kita. Anak-anak muda di sekolah dan universiti diusrahkan dan didoktrin dengan fikrah yang keras.

Pengajian takmir di masjid dan surau untuk orang dewasa juga tidak terkecuali menanamkan kebencian kepada kerajaan walaupun elaun takmir dibayar dengan bajet pentadbiran Islam yang ditingkatkan sehingga RM1.2 bilion setahun.

Modus operandi ajaran ialah dengan menafikan Malaysia sebagai negara Islam kerana kononnya tidak melaksanakan syariah. Mata dan otak mereka dikaburkan dengan khayalan-khayalan negara Islam utopia yang tidak pernah wujud sepanjang sejarah.

Ataupun mereka disogok dengan gambaran seolah-olah masyarakat Islam sebenar adalah umpama masyarakat malaikat yang tidak melakukan dosa.

Mereka menolak faktor kemanusiaan yang wujud pada manusia yang sentiasa melakukan kesalahan dan dosa, termasuk masyarakat Islam pertama di bawah asuhan Nabi Muhammad di Madinah.

Mereka inginkan sebuah ‘negara Islam’ yang sempurna di mana semua orang patuh dan taat kepada agama secara paksaan undang-undang.

Pada mereka, undang-undang yang keras seperti hudud itu sahaja yang boleh meluruskan umat Islam supaya menjadi muslim yang patuh pada ajaran agama.

Tanpa undang-undang itu, mereka mengaggap sesebuah negara tidak boleh dianggap negara Islam walaupun dalam semua aspek lain sudah mematuhi syariah dan membawa maslahah kepada manusia.

Fenomena beragama yang wujud terang di depan mata mereka dinafikan kerana terpengaruh dengan dakyah ‘Islam sedang dibuli’.

Segala jaminan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang pentadbiran Islam di setiap negeri dengan raja sebagai pelindung agama tidak disyukuri kerana khayal dengan momokan ‘Islam terancam’.

Dari sudut yang lain, kelemahan pentadbiran berslogankan ‘kepimpinan ulama’ tidak disedari kerana cukup seronok dengan kejayaan mengadakan perhimpunan Fastaqim, ceramah dan takbir.

Kajian dan kawalan awal

Usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tidak dianggap penting atau disuruh oleh agama. Kepentingan air bersih kepada rakyat tidak dipeduli kerana kepercayaan Allah akan memelihara negeri Islam yang programnya penuh dengan ceramah agama dan takbir.

Kelemahan dalam penjanaan pendapatan negeri sehingga tidak mampu membayar gaji kaki tangan negeri jika tidak berhutang dengan kerajaan pusat adalah tidak mengapa, kerana cukuplah tempikan dan teriakan kita mentadbir ikut kehendak Islam di bawah kepimpinan ulama.

Kepincangan dalam faham agama ini mengheret mereka sehingga sanggup bersikap neutral dengan rasuah dan suapan selagi ada ‘niat baik’ untuk ‘menjaga Islam dan Melayu’.

Maksiat dan dosa yang terbit daripada lidah dan mulut kerana mengumpat, memaki, mencela dan menfitnah sudah menjadi kebiasaan dan tidak dianggap berdosa lagi.

Bulan Ramadhan yang mulia ini pun tidak dihormati, sebaliknya dilanggar dengan sewenangnya hanya kerana ‘dia bukan orang jemaah atau parti kita’.

Demikian sebahagian daripada gambaran ekstrim kefahaman agama yang ditanam dalam pemikiran ramai pemuda Islam sehingga ia tersemat kemas di benak mereka sehingga dewasa.

Jika kerajaan tidak membuat kajian dan kawalan awal dalam bentuk memerangi fikrah ganas ini, tidak mustahil negara kita akan menuju ke arah perpecahan.

Bibit-bibit awal keganasan sudah kelihatan. Di antaranya serangan berdarah terhadap Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis, sabotaj bakar kereta rasmi Mufti Perlis, penangkapan empat orang yang merancang untuk melakukan aksi keganasan untuk menuntut bela kematian anggota bomba Muhammad Adib dan lain-lain lagi.

Sudah sampai masanya pendekatan Rahmatan Lil Alamin dalam pemahaman Islam dengan turut membawa inisiatif wasatiyah dan kesederhanaan dalam teori dan tindakan menjadi agenda besar negara.

Kita tidak harus membiarkan negara ini gagal sekali lagi. Gagal dalam mencapai Wawasan 2020 kerana rakyat tidak bersatu dan menghayatinya akibat kerencatan fahaman agama dan pengkhianatan pemimpin kerajaan lama terhadap amanah negara sangat-sangat merugikan kita semua.

Ketika menemui delegasi negara Islam lain dalam persidangan kali ini, saya kerap kali mendengar curahan hati ikhlas mereka yang mahu melihat Malaysia menjadi model negara Islam maju.

Cukuplah sekali negara kita dikenali sebagai ketua kleptokrasi dunia, mari kita bangunkan negara tercinta ini dengan nilai-nilai rahmah, wasatiyah dan kesederhanaan demi menikmati hidup dalam sebuah negara yang cemerlang untuk kita mewariskan kepada generasi akan datang.


ALI MUDA merupakan pegawai tugas-tugas khas kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS