Saya tidak fikir Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad terguris dengan komentar Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Maza) sehingga mendakwa beliau pekak terhadap usaha-usaha yang dilakukan kerajaan PH memelihara kepentingan Islam dan umat Islam.
Sebagai negarawan yang lama bergelumang dengan politik - malah dianggap tokoh utama komuniti Muslim dunia - Mahathir jiwanya amat kental untuk terguris dengan kecaman Maza.
Barangkali itu hanya andaian nangoi.
Apabila Maza membangkitkan tentang keakraban beliau dengan Mahathir, kita (sekurang-kurangnya: saya) rasa semacam beliaulah sebenarnya yang terguris dan tersentak apabila perdana menteri menyebut - dalam responnya kepada mufti itu: “Pasal dia pekak!”
Terpaksalah kemudiannya Maza menegaskan akan terus mengkritik dan berpegang kepada prinsip tidak mengetepikan kebenaran semata-mata kerana takut.
Persoalan asal yang mesti diselesaikan oleh Maza ialah, apakah benar Islam dibuli dalam era PH ini? Mana faktanya?
Beliau kelihatan seperti sedang meluahkan kesedihan bercampur kemarahan apabila sahabatnya disoal siasat pihak keselamatan negara.
Yakin tak pekak atau buta
Beliau tidak pun memberikan hujah dan data yang dapat menyokong andaian itu. Malah beliau sekadar menggunakan platform Facebook untuk mengumpulkan kebimbangan orang ramai dan kemudian digunakan untuk mempertahankan sahabatnya melalui isu sampingan sebegini.
Orang ada-ada pada nama dan kedudukan biasa menggunakan kaedah sebegini untuk mencapai matlamat lain.
Sebaiknya dengan kedudukan beliau, Maza jangan bertindak seperti ibarat melontar batu ke kolam kemudian mengatakan: Nah, di sana ramai pelajar-pelajar sedang bermain di tepi kolam!
Sedangkan pelajar tersebut datang atas pelawaan beliau sendiri.
Persoalan kedua, benarkah Maza tidak 'pekak'? Atau sebenarnya bukan sahaja pekak tetapi 'buta' juga? Maka bertingkat-tingkatkah kejahilan beliau terhadap segala kerja buat yang dilakukan oleh kerajaan?
Saya percaya beliau tidak pekak dan juga tidak buta untuk menerima kebimbangan sebahagian netizen terhadap kepentingan Islam di negara ini.
Maza bukan tidak tahu ada golongan yang sengaja menggunakan sentimen agama dan bangsa untuk meraih keuntungan politik. Sentimen ini pula dibeli dengan murah oleh ramai umat Islam.
Malangnya, dalam isu yang dihadapi oleh sahabatnya, Maza menggunakan 'kad' yang sama - cuba bermain sentimen.
Jika jahil sangat tentang kerja buat kerajaan PH, telefon sahaja Dr Mujahid Yusof dan bertanya. Bukannya mereka tidak rapat.
Jika rasa tidak sesuai menelefon, baca sahaja hantaran Facebook Mujahid dan timbalannya. Jika belum bertemu juga, adakan pertemuan dengan semua agensi kerajaan berkaitan Islam dan umat Islam bagi menilai sejauh mana peranan kerajaan PH meningkatkan kedudukan Islam dan umatnya.
Dapatan itu kemudian boleh dibandingkan dengan kebimbangan netizen yang rata-rata diseliputi dengan sentimen kemarahan tidak berasas.
Puncanya, sebab bukan pemimpin mereka menjadi menteri agama. Itu sahaja.
Maza tidak seharusnya menggunakan cara yang sama seperti apa yang kerap beliau lakukan dalam isu zakat. Saban tahun beliau akan mengulangi naratif yang sama. Mengkritik kononnya wujud kelemahan institusi zakat di negara ini semasa membantu umat Islam yang miskin dan daif.
Benarkah begitu?
Kerap melihat dan mengkritik keluar, terlupa pula kerja buat zakat di Perlis itu sendiri.
Ya, saya pun bersetuju prinsip berani mengkritik itu. Tetapi tidaklah dengan isu sebegini. Leceh sangat. Sebab itulah agaknya Mahathir balas macam itu sahaja.
Lebih kuranglah dengan isu nangoi. Orang besar perlu bicara sesuatu yang benar-benar berasas dan ada kewajaran untuk dijadikan isu nasional dan dibicarakan bersama.
Maza, limaza hakaza?
LIMAZA ialah pembaca Malaysiakini yang sudah lama tidak membaca harakahdaily tetapi selalu juga mengikuti kuliah dan tulisan Maza.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.