Paling Popular
Terkini

Kami, Jawatankuasa Kaukus Parlimen Pantau Lynas (JKPPL) ingin merujuk kepada kepada Manifesto PH Janji 39 iaitu “Mengimbangi Pembangunan Ekonomi dengan Perlindungan Alam Sekitar” maka sewajarnya, penerusan atau dasar pelaburan mesti mengambilkira keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta alam sekitar.

Kami sangat mengambil berat kenyataan berkenaan keputusan kerajaan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof pada 30 Mac 2019 baru-baru ini, yang mana kilang memproses Nadir Bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) akan diteruskan sebagai salah satu usaha kerajaan untuk menarik pelabur asing melabur di negara ini.

Kenyataan ini amat mengejutkan dan ternyata bercanggah dengan pendirian dan keputusan Kementerian serta termasuklah sebahagian besar Ahli-ahli Parlimen yang merupakan pembuat-pembuat dasar.

Kami berdiri teguh menyokong pendirian Kementerian MESTECC sebelum ini dalam isu pengurusan dua residu utama iaitu WLP (Water Leach Purification) sebanyak 451,564 tan metrik dan NUF (Neutralization Underflow Residue) 1.113 juta tan metrik masing-masingnya yang terkumpul di Kilang Lynas sejak tahun 2012.

WLP merupakan buangan pepejal yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM) yang dikawalselia oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) yang diberikan Lesen Operasi Sementara (TOL) selama 3 tahun (bermula 3 September 2016 sehingga 2 September 2019) manakala NUF pula dikategorikan sebagai buangan terjadual (Scheduled Waste) yang dikawal selia oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan tempoh kelulusan penstoran sementara dari 1 November 2018 hingga 15 Februari 2019.

Kami juga sedia maklum, Kementerian MESTECC telah memberi dua pra-syarat ke atas LAMP untuk permohonan lesen/kelulusan baru iaitu; residu WLP yang mengandungi bahan radioaktif (NORM) mestilah dibawa keluar dari negara ini manakala bagi residu buangan terjadual (scheduled waste) NUF, LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan sebelum tarikh kelulusan penstoran sementara sediada yang berakhir pada 15 Februari 2019.

Sila rujuk pautan ini.

Kami merasa amat kesal kerana kedua-dua pra-syarat ini tidak diambil serius bahkan awal Mac baru-baru ini Ketua Pegawai Eksekutif Lynas, Amanda Lacaze, dilaporkan mengakui bahawa Lynas tidak mampu dan tidak mempunyai sebarang niat untuk membawa sisa WLP yang mengandungi bahan radioaktif (NORM) keluar dari Malaysia.

Pengakuan ini juga memperlihatkan bahawa janji mereka sangat bercanggah dalam Letter of Undertaking antara Lynas Corporation Ltd Australia dan Lynas Malaysia Sdn Bhd bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012 yang menyatakan komitmen tersebut.

Sehingga hari ini, Lynas tidak dilihat memberikan komitmen dalam menyediakan pengurusan sisa yang komprehensif untuk jangka panjang. Beberapa ketidakpatuhan terus berlaku sebagai contoh, pertama; residu yang mempunyai bahan radioaktif (NORM) seperti WLP perlu penstoran di kawasan berbumbung dan jauh dari kawasan yang ada kecenderungan berlakunya bencana.

Kedua, sisa berjadual (scheduled waste) yang berada di tapak tidak boleh melebihi 20 metrik tan atau tempoh 180 hari (6 bulan). Hakikatnya, residu NUF oleh Lynas kini melebihi 1.113 juta tan metrik melebihi 6 tahun berada di tapak.

Kami ingin memberi penegasan, kita tidak pernah menentang pelaburan asing, tetapi sebagai wakil yang dipilih oleh rakyat kita mesti mempunyai keazaman politik (political will) dalam memastikan proses pembangunan yang mampan serta tidak memberikan kesan negatif kepada kesihatan dan keselamatan rakyat serta juga kelestarian alam sekitar.

Dengan ini, kami bertegas operasi Kilang Lynas tidak boleh diteruskan selagi syarat-syarat pengurusan sisanya tidak dipatuhi seperti yang telah ditetapkan.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS