Pertemuan mesra antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof dengan pendakwah terkenal Dr Zakir Naik semalam mendapat liputan media secara meluas.
Secara luaran, dua personaliti ini mempunyai gaya dan pengikut tersendiri.
Seorang menteri yang menjaga hal ehwal agama dengan pendekatan baru manakala seorang lagi tokoh pendakwah yang cekal berdialog dalam kepelbagaian peradaban dan agama.
Namun secara asasnya kedua-duanya adalah tokoh intelek Islam yang membawa gagasan mereka bagi mendepani cabaran umat masa kini.
Menurut laporan, antara perkara yang dibincangkan adalah gagasan 'Rahmatan Lil Alamin', 'Maqasid syariah' dan 'Model Malaysia'.
Bagi saya, tiga gagasan yang dijuarai Mujahid ini pendekatan rahmah buat masyarakat majmuk di Malaysia.
Bukan mudah membawa gagasan baru dalam pentadbiran, apatah lagi berdepan dengan budaya dan pandangan alam yang sudah berakar umbi puluan tahun.
Pastinya ia memerlukan kekuatan politik dan iltizam seorang idealog bagi mempertahankan idea yang dibawa.
Berkongsi gagasan bersama tokoh seperti Dr Zakir Naik menunjukkan keupayaan Mujahid sebagai idealog 'Rahmatan Lil Alamin'. Mujahid juga pastinya mendapat beberapa pandangan dan nasihat daripada beliau.
Dua personaliti yang berbeza ini mempunyai jiwa besar dalam berkongsi pandangan untuk mencari titik pertemuan yang harmoni.
Ibrah pertemuan ini cukup besar - berbincang dan berkongsi pandangan membuka ruang yang amat luas kepada kefahaman dan kesatuan.
Ia juga menyerlahkan keperibadian masing-masing dalam menyebar gagasan buat umat Islam dan manusia sejagat.
MOHD HASNOL YUNUS adalah pembaca Malaysiakini. Beliau berminat membuat pemerhatian berkenaan isu semasa dan terlibat dalam bidang pemasaran dan penjenamaan.
Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.