Paling Popular
Terkini

Adakah orang Melayu Malas? Persoalan yang sama boleh ditanya sama ada adakah orang India kaki mabuk atau gangster? Adakah orang Cina semua kaya?

Ini adalah stereotaip-stereotaip yang dipromosi dalam masyarakat kita.

Mengenai isu malas. Biasanya majikan dan juga masyarakat amnya menganggap mereka yang buat kerja 8 jam dalam satu kilang itu malas berbanding dengan mereka yang buat kerja lebih masa (OT).

Walaupun hujah kita bahawa seorang harus mendapat gaji yang munasabah dengan hanya bekerja 8 jam tetapi naratif majikan dan kelas pemerintah adalah mereka yang bekerja 8 jam ini malas.

Maka mereka mewujudkan persaingan antara pekerja yang mahu kerja OT dengan pekerja yang hanya mahu bekerja 8 jam.

Berbalik kepada isu orang Melayu Malas. Pada zaman penjajahan, British mendapati amat sukar untuk memaksa orang Melayu bekerja di lombong timah dan kerja ladang.

Bukan kerana orang Melayu tidak mahu kerja tetapi orang Melayu pada masa itu selesa dengan kehidupan mereka sebagai petani, pesawah dan nelayan. Mereka dapat menampung kehidupan mereka.

Maka British berjaya membawa masuk Orang Cina dan India yang mengalami masalah kemiskinan di negara mereka sendiri untuk bekerja di lombong-lombong dan tanah-tanah ladang demi untuk memperkayakan empayar British.

Mereka juga mengamalkan polisi pecah dan perintah. Samalah modus operandi apabila Mahathir Mohamad bercakap orang Melayu malas, ia sebenarnya menwujudkan satu persaingan dengan kaum-kaum yang lain.

Sistem kapitalis memang dalam nalurinya menwujudkan persaingan dan akan menggunakan pelbagai perpecahan di kalangan masyarakat seperti agama, etnik dan budaya untuk memastikan kekayaan maksimum.

Agenda ini tidak beza dari agenda penjajah British dulu.

Hari ini musuh untuk pekerja Malaysia adalah pekerja asing. Naratif ini terus digunakan. Maka sekarang pekerja asing yang membuat kerja 3D – kotor, sukar dan bahaya – dilihat sebagai pekerja yang rajin manakala setiap majikan bercakap mereka mahukan pekerja asing.

Agenda majikan sebenarnya adalah polisi gaji murah dan untuk memaksimkan keuntungan. Namun apa yang mereka katakan adalah pekerja Malaysia malas, tidak mahu buat kerja itu dan terlalu manja.

Pecah dan perintah antara masyarakat kita ataupun antara kita dengan pekerja asing hanyalah agenda keuntungan ekonomi segelintir kecil.

Segelintir kecil ini boleh jadi orang Cina, India, Melayu, Jepun, Eropah atau sesiapa pun.

S ARULCHELVAN seorang pemimpin pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS