Paling Popular
Terkini

Mutakhir ini keputusan yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik banyak membuatkan rakyat berasa tidak gembira.

Malah setiap kali mengumumkan keputusan dari Kementerian Pendidikan, Dr Maszlee pasti akan menyalahkan kerajaan terdahulu (BN).

Terbaru keputusan membekukan sementara MyBrain dengan alasan Kementerian Pendidikan tiada sumber kewangan kerana kerajaan terdahulu meninggalkan beban hutang yang tinggi adalah alasan yang tidak masuk akal.

MyBrain merupakan pembiayaan untuk program ijazah lanjutan merangkumi MyPHD dan MyMaster dari inisiatif kerajaan di bawah pentadbiran BN dahulu.

Ia bertujuan meningkatkan jumlah pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dan Ijazah Sarjana (Master) bagi mencapai sasaran 60 ribu pemegang PhD dan Master di Malaysia menjelang tahun 2023.

Malah dalam Bajet 2018, sebanyak RM90 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pendidikan untuk MyBrain. Justeru, alasan Dr Maszlee membekukan MyBrain kerana kekurangan sumber kewangan adalah satu pembohongan.

Adakah Dr Maszlee fikir rakyat mudah untuk ditipu dengan manipulasi hutang negara keputusan untuk membekukan biasiswa MyBrain perlu diterima oleh rakyat?

Membekukan sementara MyBrain atas alasan untuk dikaji tanpa dimaklumkan satu tempoh masa biasiswa MyBrain dibekukan bagi saya ia satu penindasan kepada rakyat.

Sampai bila Dr Maszlee mahu membuat kajian dan berapa lama masa yang diambil untuk proses kajian itu dibuat? Adakah seminggu, sebulan atau setahun?

Membekukan MyBrain tanpa diberitahu tempoh waktu hanya menyekat peluang rakyat untuk sambung pengajian dan Dr Maszlee harus sedar bukan semua orang ada kemampuan kewangan untuk menampung yuran pengajian di peringkat Kedoktoran dan Sarjana.

Justeru, semua pihak perlu desak Kementerian Pendidikan menyelesaikan isu MyBrain kerana keputusan Dr Maszlee membekukan MyBrain satu penindasan ke atas rakyat.

MyBrain dapat membantu menaikkan taraf hidup rakyat, ekonomi dan peluang naik pangkat.

Akhir kata saya mengingatkan Dr Maszlee berhenti dari membuat keputusan yang bersifat menindas rakyat kerana saya khuatir apabila rakyat benar-benar rasa diri ditindas pelbagai perkara boleh berlaku.


Shahrul Nasrum Kamarudin merupakan exco pergerakan Pemuda Umno.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS