Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemuda AMANAH Kelantan menuntut agar Kerajaan Pas di Kelantan memberikan perhatian yang lebih serius dalam menangani gejala Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang semakin menular dalam negeri ini.

Ini berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan yang telah menggesa kerajaan persekutuan agar mengetepikan isu perkahwinan bawah umur yang dianggap sebagai kes terpencil dan sebaliknya beliau pula meminta agar kerajaan persekutuan memberi perhatian terhadap kes LGBT yang berlaku di negara ini.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan baru-baru ini, Kerajaan Persekutuan melalui Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama telah menyatakan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap kelakuan songsang dari golongan LGBT ini, sekiranya mereka mengamalkan perbuatan songsang tersebut secara terbuka.

Sajat, Safiey Ilias

Tambahan pula, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama, Fuziah Salleh telah menyuarakan hasrat bagi bertemu dengan ahli perniagaan berasaskan kosmetik, Sajat dan Safiey Ilias yang telah mencetuskan keresahan awam apabila tindakan yang dipertontonkan oleh mereka jelas seolah-olah mahu mempromosikan budaya LGBT kepada masyarakat di Malaysia.

Sepatutnya sebagai sebuah kerajaan yang mengamalkan pentadbiran Islam sebagaimana yang sering dilaungkan oleh PAS selama ini, kerajaan Kelantan sepatutnya bertindak lebih proaktif mendahului kerajaan persekutuan dalam usaha menangani dan merawat masalah LGBT ini.

Sudah menjadi rahsia umum, Kelantan juga tidak terlepas dari bahana masalah LGBT ini. Siapa boleh menafikan masalah pondan dan gay yang berleluasa di Kelantan ini sudah semakin parah. Buktinya, sehingga hari ini kerajaan kelantan dilihat gagal menghapuskan kegiatan pelacuran seks songsang yang berlaku di sekitar bandar Kota Bharu Bandar Raya Islam.

Meskipun pelbagai pendedahan tentang kegiatan pelacuran jalanan oleh golongan pondan ini sentiasa dibuat, kerajaan Kelantan dilihat gagal bertindak proaktif dalam menangani dan membasmi masalah LGBT yang sudah sampai ke tahap perdagangan lendir ini dari berlaku di negeri Serambi Mekah ini.

Polis syariah

Tambah memedihkan mata, apabila kedua-dua tokoh perniagaan kosmetik yang mengalami krisis identiti itu, dengan bangganya menayangkan pasangan cinta mereka berdua yang jelas sama jantina itu, kedua-duanya adalah anak muda dari Kelantan.

Tindakan menconteng arang di muka negeri Serambi Mekah ini, walau ditayangkan secara meluas oleh kedua-dua tauke kosmetik berkenaan di media sosial mereka, dipandang sepi oleh kerajaan PAS Kelantan, tanpa ada walau satu kenyataan menegur tindakan anak muda negeri mereka sendiri, jauh lagi dari melaksanakan sebarang inisiatif bagi menangani masalah LGBT tersebut yang telah berlaku di hadapan tangga rumah negeri yang didakwa telah ditadbir secara Islam.

Di manakah 'polis syariah' untuk mencegah dan mengambil tindakan terhadap masalah LGBT yang berlaku di Kelantan ini?

Bukankah PAS Kelantan ada menyatakan bahawa Kelantan akan mewujudkan polis syariah yang pastinya akan melaksanakan kerja amar makruf nahi mungkar itu, sebagaimana yang dijanjikan oleh PAS Kelantan dalam manifesto pada PRU 14 yang lalu?

'Diperdagangkan di Wechat'

Sebenarnya, kami yakin kerajaan persekutuan sedang merangka pelan tindakan dalam usaha menangani masalah LGBT ini, seperti yang telah dinyatakan oleh Datuk Dr Mujahid sebelum ini.

Pendekatan dakwah bil hikmah dan usaha untuk mendekati golongan ini tidak seharusnya dikecam dan dipertikai.

Bagaimana pula pendekatan kerajaan PAS Kelantan, adakah mereka akan menggerakkan pasukan polis syariah mereka untuk menggempur sarang pelacuran songsang di sekitar Kota Bharu dalam masa terdekat ini?

Atau sebenarnya polis syariah yang dijanjikan oleh PAS Kelantan ini hanya sekadar meniti di bibir sahaja, sehingga akhirnya wal hasil balik asal, masalah pelacuran songsang terus berlaku, bukan sahaja diperdagangkan di jalanan, bahkan semakin moden sehingga berani beriklan di aplikasi sosial seperti Wechat.

 


MUHAMMAD ARIFF BASHIRUDDIN MUHAMMAD RUSLI ialah Pengarah Komunikasi Pemuda AMANAH Kelantan.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS