Perkembangan mutakhir memperlihatkan isu pemilihan Peguam Negara perlu dilaksanakan secara bijak dan berhemah selaras dengan kepentingan dan kemaslahatan agama Islam. Ia juga harus melalui proses tanggungjawab meluas dalam kerjaya undang-undang kekananan negara mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Sesuai dengan perkembangan kesedaran agama yang sihat di kalangan orang Malaysia dan di peringkat global, dalam keadaan negara kita berprinsipkan Raja Berperlembagaan, adalah wajar jika calon Peguam Negara itu mempunyai sikap 'peduli Raja, peduli Islam'.
Peduli Raja bermaksud memahami, menghormati dan mendaulatkan Institusi Raja-Raja Melayu. Peduli Islam ertinya calon itu mestilah orang Islam dan mempunyai kefahaman serta penghayatan Islam sepenuhnya termasuk hal-ehwal undang-undang syariah.
Ini adalah kerana banyak perkara berkaitan perundangan memerlukan persetujuan Peguam Negara.
Sudah pasti jika calon yang tidak memahami, menghormati dan mendaulatkan kepentingan Institusi Raja-Raja Melayu, dia tidak akan menginsafi prinsip ini dan akan begitu mudah menyetujui tindakan yang boleh mendatangkan mudarat besar kepada keyakinan rakyat terhadap institusi diRaja.
Dari segi perundangan syariah pula, kebijaksanaan Peguam Negara (melalui Bahagian Syariah di AGC) memastikan tindakan pentadbiran dan pemurnian perundangan Syariah dapat dilaksanakan secara berkesan dan berdiplomasi tinggi kerana ia turut melibatkan 'prerogatif Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama'.
Oleh itu, amatlah wajar bagi Peguam Negara memahami prinsip pentadbiran undang-undang syariah di negara. Ini adalah penting agar tidak berlaku kepincangan dalam pelaksanaan perundangan di negara ini yang membabitkan masyarakat pelbagai kaum. Kemurnian amalan sedia ada ini perlu dikekal dan dipertahankan.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Strategik, Ibu Pejabat Umno.
Ia adalah pandangan peribadi penulis dan organisasinya serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.