Marina Mahathir berpendapat bahawa negara akan sukar mencapai kemajuan jika tidak mengamalkan sikap liberal. Bahkan negara akan terus mundur sekiranya Islam menjadi teras sesebuah negara.
Persoalannya adakah dengan menjadi liberal negara akan terus maju?
Ini merupakan satu fahaman yang sempit oleh manusia-manusia yang berfikiran sempit seperti Marina Mahathir. Jelas sikap ini tidak perlu dicontohi oleh mana-mana pihak dan tanggapan ini yang perlu diperbetulkan kerana ia adalah fahaman sesat yang mampu merosakkan akidah seseorang.
Fahaman liberal yang dibawa oleh orang-orang Barat, rata-ratanya menolak agama dan tradisi. Jadi untuk apa kita perlu mengagung-agungkan gaya pemikiran orang Barat?
Ajaran Islam itu sudah cukup sempurna untuk menjadi satu platform kepada kemajuan sesebuah negara. Contoh paling hampir dapat kita lihat adalah bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin yang telah memperkenalkan Gagasan Johor Islami kepada masyarakat.
Konteks Johor Islami yang dijayakan oleh beliau bukan berkisar tentang pengenalan atau pelaksanaan Islam dalam undang-undang. Jauh sekali untuk mengetepikan kebebasan agama lain untuk diamalkan di Johor.
Sebaliknya, konteks Johor Islami yang diperkenalkan merujuk kepada usaha-usaha untuk menterjemahkan prinsip dan saranan Islam dalam pelbagai agenda pembangunan serta ikhtiar menyejahterakan masyarakat. Malah turut menjadikan ajaran Islam sebagai satu cara hidup berbanding hanya kompilasi hukum hakam dan peraturan.
Misalnya, Gagasan Johor Islami meliputi pelbagai aspek bantuan seperti bantuan pesakit bukan Islam, Skim Zakat MAINJ, pembelaan mualaf dan lain-lain. Ini menunjukkan Islam anjurkan sifat keterbukaan dalam menolong sesama manusia tanpa mengira kaum mahupun agama. Apabila kita bersikap terbuka bukan bermakna kita ini liberal.
Kita perlu faham, kemajuan dalam Islam yang sebenarnya adalah dengan memberi fokus kepada kemajuan manusia itu sendiri. Apabila seseorang cukup ilmu dan maju dari segi pemikiran malah tingkah lakunya juga baik. Maka manusia seperti ini, akan memberi impak positif kepada kemajuan di sekitarnya.
Kemajuan sesebuah negara tidak memerlukan kita untuk menjadi liberal seperti yang diperkatakan oleh Marina Mahathir. Sebaliknya, fokus pembentukan peribadi seseorang manusia itu sendiri sebagai asas utama untuk membentuk negara yang lebih maju dari segenap aspek.
Jadi sebagai anak muda saya menolak sekeras-kerasnya fahaman liberal yang dibawa oleh Marina Mahathir. Bagi saya, fahaman ini bukan sahaja mampu merosakkan sesebuah organisasi malah ia juga akan merosakkan pemikiran dan akhlak seseorang.
Dhia Hani
Persatuan Pemikir Muda Johor