Pengundi yang dikasihi,
Semasa parti campuran Perikatan di bawah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman mengambil alih kuasa sebagai kerajaan pertama kita pada 31 Ogos 1957, Eisenhower adalah Presiden Amerika Syarikat, Khruschev dan Mao Tze Tung adalah pemimpin tertinggi Kesatuan Soviet dan China, MacMillan sebagai Perdana Menteri United Kingdom, Nehru selaku Perdana Menteri India dan Sukarno pula Presiden Indonesia.
Dalam dasawarsa yang berikutnya, Presiden Amerika Syarikat dan Perdana Menteri United Kingdom telah bertukar di antara 2 parti-parti politik utama mereka. Parti Kongres Nehru kehilangan kuasa di peti undi pada tahun 1977. Sukarno digulingkan melalui rampasan kuasa yang ditaja oleh pihak tentera pada tahun 1965. Kesatuan Soviet runtuh pada tahun 1991.
Satu-satunya parti politik di antara negara-negara yang dipilih secara rawak ini yang masih memegang tampuk kuasa adalah Parti Komunis China oleh Mao.
Namun di Malaysia, 13 pilihanraya umum dan 60 tahun kemudiannya, parti campuran berkenaan, yang dikenali semenjak tahun 1974 sebagai Barisan, masih kekal memegang kuasa.
Gabungan yang diketuai oleh Umno adalah sebuah perkumpulan politik yang paling lama bertahan di dunia, yang memerintah secara berterusan dan tanpa henti selama 60 tahun.
Berikutan itu semua permasalahan yang melanda negara ini, sama ada dari segi politik, ekonomi, sosial mahupun sebaliknya adalah akibat daripada cengkaman Umno ke atas negara ini.
Mereka terutamanya dipersalahkan di atas polarisasi perkauman dan agama, endemik rasuah, pemusatan kuasa di tangan perdana menteri, ketiadaan institusi-institusi yang bebas dan saksama yang diharapkan berperanan sebagai semak dan imbang (check and balance) ke atas kuasa dan pengaruh pihak eksekutif, peningkatan pengaruh Putrajaya yang menjejaskan 14 negeri-negeri dan lain-lain lagi.
Dalam minggu-minggu yang mendatang, saya akan memperihalkan secara terperinci bagaimana sebuah parti yang memerintah selama setengah abad ini amat memudaratkan kebajikan kita.
Bayangkan sekiranya parti Konservatif memerintah United Kingdom semenjak tahun 1957 ataupun sekiranya 11 orang Presiden selepas Eisenhower datang dari parti Republikan.
Senario tersebut tidak terbayang oleh sesiapa pun. Jadi mengapa perlu ia diterima oleh kita.
Justeru, sebab yang paling utama bagi perubahan kerajaan dalam pilihanraya umum ke-14 yang akan datang ini adalah agar rakyat Malaysia akhirnya dibebaskan daripada cengkaman Umno.
60 tahun pastinya sudah lebih daripada memadai bagi mana-mana sebuah gabungan politik untuk memerintah mana-mana negara. Cukup-cukuplah.
Meskipun Perikatan mempunyai tiga parti komponen dan BN mempunyai 14, umumnya tampuk kuasa sentiasa berada di tangan Umno, dengan presidennya secara automatik menjadi perdana menteri.
Dasar-dasar utama dibuat dan keputusan-keputusan diambil oleh Umno, kadang-kadang bahkan di mesyuarat Majlis Tertingginya. Setiap daripada 13 parti-parti komponen tahu kedudukan mereka yang lebih rendah di dalam tatatingkat BN.
Hakikat politiknya adalah selama 60 tahun Umno telah menguasai ruang umum di Malaysia.
Untuk parti yang ditubuhkan semenjak tahun 1946, Umno cuma mempunyai tujuh orang presiden di sepanjang 71 tahun sejarahnya. Empat orang presidennya meninggalkan parti tersebut selepas meletakkan jawatan.
Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad bukan sekadar meninggalkan Umno bahkan menyertai parti-parti yang menentang Umno. Ia seolah-olah mereka hanya menyedari sifat sebenar Umno selepas mereka meletakkan jawatan.
Razak meninggal dunia sebagai presiden Umno. Satu-satunya mantan presiden yang masih kekal menyokong Umno selepas pengunduran beliau adalah Tun Abdullah Badawi.
Oleh itu, pilihan raya umum tahun ini mestilah dianggap oleh pengundi-pengundi sebagai referendum ke atas pemerintahan Umno yang berterusan dan tidak pernah putus semenjak Merdeka.
Bagaimana mereka menguruskan kewangan awam; mentadbir sekolah-sekolah dan hospital-hospital; menguruskan jualan-jualan aset-aset negara seperti kemudahan awam, jalan-jalan dan landasan-landasan keretapi kepada sektor swasta dalam urusniaga yang berat sebelah yang tidak memihak kepada kepentingan umum; ruang untuk pihak minoriti, pengkritik dan penentang yang dinafikan dan lain-lain lagi.
Mereka sepatutnya dinilai berdasarkan tadbir urus politik dan ekonomi negara mereka. Bagaimanakah prestasi mereka? Bagaimana pula dengan nepotisma, kronisma, naungan (patronage) dan kebocoran (leakages)!
Dilihat dari sudut pandangan itu, tumpuan sepatutnya ditujukan ke atas tadbir urus oleh Umno selama 6 dasawarsa, daripada mempertimbangkan pihak pembangkang, dan sama ada Pakatan Harapan akan dapat memerintah sebagai sebuah kerajaan persekutuan.
Setakat ini, tiada parti ataupun gabungan pembangkang yang pernah diamanahkan dengan tadbir urus negara, maka mereka tidak mempunyai rekod prestasi untuk dipertahankan.
Memerintah negeri-negeri bukanlah suatu perbandingan yang sebenar kerana selain daripada isu-isu kerajaan tempatan, negeri-negeri mempunyai kuasa dan pengaruh yang kecil ke atas perkara-perkara yang mempunyai kesan kepada kehidupan seharian.
Sekiranya prestasi kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor harus dinilai sekalipun semenjak tahun 2008, secara objektifnya, mereka telah melaksanakannya dengan baik, dan boleh dipercayai untuk memerintah di peringkat persekutuan.
Bagaimanapun saya mengesyorkan agar tumpuan sepatutnya diberikan kepada mereka yang telah memegang tampuk kuasa persekutuan untuk mempertahankan rekod prestasi mereka, dan diadili berdasarkan tadbir urus mereka. Oleh itu, perhatian utama sepatutnya ditujukan kepada Umno.
TOMMY THOMAS adalah seorang peguam kanan, yang lazim menulis tentang perkara-perkara politik dan ekonomi.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.