Sering orang awam, kanak-kanak, ibu mengandung, orang tua, orang kurang upaya, terperangkap apabila gas pemedih mata ditembak bertujuan untuk meleraikan perhimpunan. Berikut ialah beberapa panduan kepada mereka yang tidak bersalah ini untuk menyelamatkan diri dalam situasi ini.
Sebelum gas pemedih mata dilepaskan : Sekiranya anda nampak pihak keselamatan mula mengenakan topeng muka, bermakna gas pemedih mata akan dilepaskan. Sekiranya anda memakai kanta pelekap (contact lense), tanggalkannya dengan segera, jangan gunakan kanta pelekap ini walaupun keadaan telah reda. Pakai cermin renang sekiranya ada. Tutup mulut dan hidung rapat dengan kain yang dibasahkan dengan air kosong (sebaiknya dibasahkan dengan air limau).
Sekiranya anda ada baju hujan, maka pakai baju dan seluar hujan dengan kemas serta tutup kepala anda dengan penutup kepala. Jangan gunakan losyen atau minyak sebagai pelindung kulit kerana ini akan lebih memburukkan keadaan kerana losyen dan minyak akan memerangkap kimia gas pemedih mata pada kulit anda.
Ketika gas pemedih mata dilepaskan : Cuba bertenang, Jangan Panik! Jika anda panik, suhu badan anda akan meningkat dan akan lebih memedihkan lagi mata dan kulit anda. Cuba bergerak keluar dari asap gas pemedih mata. Jangan sentuh muka dan mata anda dengan tangan. Hembus hidung, dan ludahkan keluar kimia yang terdapat dalam gas pemedih mata.
Jangan sentuh tin gas pemedih mata yang dilepaskan, ianya panas. Sekiranya anda dapati ibu mengandung atau kanak-kanak berada di kawasan tersebut, gunakan sarung tangan kulit untuk mencampakkan tin gas pemedih mata tersebut ke kawasan yang tiada orang. (Jangan campakkan tin gas pemedih mata tersebut ke arah pasukan keselamatan).
Rawatan : Cuci muka, mata dan bahagian badan yang terkena gas pemedih mata dengan air yang banyak. Jangan gunakan sabun. Salin pakaian yang bersih. Pakaian yang tercemar hendaklah diikat didalam plastik.
Bahaya gas pemedih mata : Gas pemedih mata juga dipanggil CS, CN, atau CX adalah bahan kimia yang digunakan oleh pasukan keselamatan untuk menyuraikan perhimpunan. Ada pendapat, gas pemedih mata ini boleh menyebabkan barah, kecacatan bayi dalam kandungan.
Di Seattle, Amerika Syarikat, terdapat beberapa gas pemedih mata yang dilepaskan, mengandungi methylene chloride, bahan kimia yang sangat toksik yang boleh menyebabkan keguguran serta-merta.
Siapa yang berbahaya terdedah pada gas pemedih mata : Mereka yang ada penyakit lelah. Mereka yang mempunyai penyakit dada dan paru-paru. anita yang mengandung. Mereka yang mempunyai penyakit mata dan kulit. Mereka yang menggunakan kanta pelekap (contact lens).