Hujung minggu lalu, saya hadir ke dialog tertutup bersama bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin di ibu negara.
Beliau pemimpin yang berpengalaman membawa keluar negara daripada krisis ekonomi. Setiap soalan perihal pentadbiran, ekonomi dan pendidikan ditanggapinya dengan berhati-hati dan sinis namun amat tajam.
Sehinggalah soalan akhir pada sesi dialog itu – siapakah calon Pakatan Harapan (HARAPAN) yang paling sesuai untuk memimpin negara selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Soalan ini juga dijawabnya dengan berhati-hati dan tajam.
Beliau menegaskan yang tokoh yang layak adalah yang meletakkan kepentingan negara sebagai perkara utama, peduli rakyat dan berwibawa. Dan yang pasti, generasi mudalah yang menjadi penentunya.
Bagi Daim, beliau dan generasinya adalah 'Malaysia Lama' manakala generasi muda adalah 'Malaysia Baru' – untuk masa depan.
Benarlah pandangan itu. Maka sebab itulah saya selaku generasi muda atau millenial terkejut dan sedikit kecewa dengan cadangan Majlis Presiden HARAPAN yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.
Dunia hari ini menuju kepimpinan muda. Apakah Malaysia nanti akan kembali diterajui pemimpin berusia 90-an. Begitu juga dengan Wan Azizah selaku timbalan yang dianggap generasi kami sebagai cadangan yang tidak bijak dan strategik.
Cadangan itu seolah-olah diselubungi bayang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari tembok Sungai Buloh.
Saya yakin pencalonan Wan Azizah adalah untuk mengisi kekosongan sementara untuk suami tercintanya. Ini terbukti tidak diterima dengan senang oleh ramai millenials.
Generasi muda hormat dan kagum dengan Anwar, dan akan terus menyokong perjuangan yang dimulakannya untuk mewujudkan sebuah negara yang bebas daripada budaya korupsi, nepotisme dan kleptokrasi.
Namun kami melihat masa depan negara dengan pandangan yang berbeza – dengan negara dipimpin oleh generasi muda pasca-Reformasi.
Sebahagian di kalangan kami tidak melalui era bermulanya Reformasi. Ada yang terlalu muda untuk mengetahui liku dan pahit maung perjuangan. Namun ia tetap satu era yang perlu terus menjadi inspirasi perjuangan anak muda.
Azmin yang muda
Apa yang kritikal kini adalah memenangi PRU akan datang. HARAPAN wajib menang! Ketika itu, HARAPAN pastinya boleh melakukan yang terbaik, misalnya memberi keadilan perundangan kepada Anwar.
Kini isu paling dominan bagi HARAPAN adalah mengenepikan agenda dalaman parti komponen dan memberi tumpuan kepada kemenangan. 20 tahun Reformasi cukup untuk mematangkan bangsa.
Untuk ke Putrajaya, jalan yang terbaik, walaupun tidak popular, perlu diambil. Di sinilah Pemuda HARAPAN memaparkan sikap berani dan rasional.
Keputusan Pemuda HARAPAN yang menamakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai calon perdana menteri pilihan pastinya mampu meyakinkan rakyat.
Keputusan itu adalah suara generasi kami yang mahukan pembaharuan. Saya merasakan ia sebagai langkah yang progresif, tulen lagi jujur. Dengan mencalonkan Azmin, ia memberikan sinar harapan kepada kami yang bakal mengundi.
Azmin pada kaca mata saya telah mempamerkan ketrampilan sebagai pemimpin yang boleh diberikan sokongan penuh untuk memimpin bangsa, agama dan negara. Beliau juga membuktikan ketokohannya memelihara martabat bahasa Melayu, khususnya di Selangor.
Sebenarya saya terpanggil untuk menulis perkara ini kerana setiap kali melepak di warung dan restoran mamak, pasti timbul soalan relevan atau tidak menamakan tokoh yang sudah berusia 92 tahun atau tokoh yang tiada pengalaman dan hanya menjadi perdana menteri untuk sementara.
Sedangkan kita boleh menamakan seorang tokoh muda yang memiliki rekod kepimpinan cemerlang, peduli rakyat dan berwibawa?
Pengajaran India dan Indonesia
Sudah hampir dua penggal HARAPAN (dahulunya Pakatan Rakyat) membentuk kerajaan negeri. Terbukti sudah yang Reformasi sendiri telah melahirkan ramai pemimpin yang mampu membawa Malaysia ke hadapan.
Sudah sampai waktunya laluan diberi kepada pemimpin muda.
Saya teringat sejarah politik India 70 tahun lalu, ketika berlakunya percaturan hebat beberapa pihak untuk jawatan perdana menteri.
Mahatma Gandhi kemudian mengambil langkah yang mengejutkan dengan memberikan laluan kepada Jawaharlal Nehru untuk memimpin negara.
Hal sama berlaku di Indonesia. Megawai tiada pilihan lain menang selain beralah kapada Jokowi sebagai calon Presiden.Jika Megawati yang bertanding, pasti partinya iaitu Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) akan kalah.
Masih ada masa untuk memperbetul keadaan.
Usaha murn negaran kita, Mahahtir, untuk terus mempin negara – walapun untuk sementara- pada usia melawati 90. saya juga akui tanpa Anwar, HARAPAN kini perlukan seoran pemimpin yang mampu membawa semua parti komponennya ke arah satu tujuann.
Mahathir bolah saja diberiakn peranan sebagai penasihat barisan kepimpinan baru negara.
Harapan perlu berani menurunkan muka baru.
Masa depan negara di tangan millenials dan Azmin calon paling sesuai menjadi nakhodanya dengan dibantu pemimpin muda lain seperti Nurul Izzah Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Barisan ini selaras dengan langkah menuju era Malaysia Baru.
AMER HAMZAH mempunyai minat mendalam dalam politik dan akan mengundi buat kali pertama pada PRU ke-14.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.