Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
Paling tidak PM kena bawa pulang AS$1.7b dari AS

Pada pertemuan rasmi kurang 10 minit di antara delegasi Datuk Sri Najib Razak dan Presiden Donald Trump di Rumah Putih pada 12 September lalu, ayat kedua dan ketiga yang diucap Perdana Menteri Malaysia ialah:
"I want to say that we come here with a strong value proposition to put on the table. Number one, we want to help you in terms of strengthening the US economy." (Saya ingin katakan bahawa kami datang ke sini dengan membawa cadangan nilai yang kukuh untuk dikemukakan. Kami mahu membantu anda mengukuhkan ekonomi AS.)

Beliau seterusnya berkata bahawa MAS akan menambah jumlah kapal terbang Boeing yang akan dibeli. Pembelian tambahan ini dijangka bernilai sekitar AS$10 bilion (RM42 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Najib turut berkata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melabur AS$4 bilion (RM16.8 bilion) ke dalam ekonomi AS, manakala Khazanah juga akan meningkatkan jumlah pelaburan di negara itu daripada AS$400 juta yang ada sekarang.

Ini bermakna Malaysia akan memasukkan hampir RM60 bilion ke dalam ekonomi AS untuk lima tahun akan datang.

Tetapi di dalam pertemuan tersebut, kita tidak mendengar sepatah perkataan pun dari Trump tentang apa yang akan dimasukkan AS ke dalam ekonomi Malaysia.

Bermakna kepada rakyat

Jika dirujuk nilai perdagangan Malaysia - AS dari 2013 hingga 2016 jelas pihak yang menerima manfaat langsung paling besar daripada pertemuan itu adalah AS,.

Ekonomi AS akan menyaksikan pertambahan purata ekspot ke Malaysia bernilai lebih kurang RM8.4 bilion setahun untuk lima tahun akan datang dengan pembelian kapal terbang Boeing tersebut.

Namun sehingga kini tidak jelas apa manfaat langsung yang akan dinikmati ekonomi Malaysia daripada pertemuan Najib dan Trump itu.

Laporan Bernama bertarikh 14 September 2017 ada disebut bahawa "kedua-dua negara komited mengkaji semula kerangka pengawalseliaan dengan tujuan memudahkan pelaburan di dalam ekonomi negara masing-masing" (The two countries also committed to review regulatory frameworks with the aim of facilitating investment in their respective economies).

Mengikut dakwaan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, nilai aset yang terlibat dalam kes 1MDB di AS mencecah hampir AS$1.7 bilion.

Maka, adalah cukup bermakna untuk rakyat dan ekonomi negara jika kerangka pengawalseliaan ini dikaji semula untuk membolehkan segala "pelaburan" di AS yang didakwa menggunakan wang haram diseleweng daripada 1MDB akan diekspot - yakni dipulangkan - kembali ke Malaysia.

Oleh itu, perdana menteri perlu segera menjelaskan apakah beliau ada berbincang dengan Trump berkaitan pemulangan aset-aset bernilai AS$1.7 bilion ini ke Malaysia.

Walaupun pemulangan aset bernilai AS$1.7 bilion dari AS tidak menyamai hampir AS$60 bilion yang akan dimasukkan Malaysia, tetapi sekurang-kurangnya maruah negara dapat ditebus.


FAHMI FADZIL ialah Pengarah Komunikasi PKR.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS