Pendedahan yang dibuat oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang akhirnya telah menyerlahkan apa yang berlaku terhadap wang AS$620 juta yang dipulangkan Malaysian Official 1 (MO1) kepada “penderma”.
Ironinya, identiti penderma yang dimaksudkan itu juga masih kabur dan penuh tanda tanya.
Tindakan DOJ ini telah membantu rakyat Malaysia untuk memahami kemana wang yang telah dipulangkan oleh MO1 atau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Fakta adalah terlalu jelas seumpama mentari pagi bahawa MO1 adalah Najib di mana beliau digambarkan sebagai individu yang menerima AS$681 juta (RM2.6 billion) daripada wang 1MDB yang mana jumlah tersebut disahkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali walaupun dikatakan derma.
Tiada menteri lain yang mengakui MO1, malahan Najib juga tidak menafikannya. Tambahan pula, pengakuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa MO1 adalah Najib mengesahkan fakta ini.
Hari ini, DOJ telah membantu kita dengan membuat pelbagai pendedahan yang melibatkan penyelewengan MO1 dalam skandal 1MDB yang mana tidak mampu dilakukan oleh institusi penguatkuasa undang-undang negara termasuk peguam negara, SPRM mahupun Polis Diraja Malaysia.
Maruah negara hari ini begitu tercalar di peringkat antarabangsa sehinggakan digelar negara kleptokrasi.
Sekurang-kurangnya AS$27.3 juta digunakan untuk membeli loket dan rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu untuk isteri Najib.
Malah wang tersebut digunakan untuk membeli gambar bernilai AS$750,000 sebagai hadiah kepada pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.
Pendedahan ini bukanlah perkara baharu bagi rakyat Malaysia kerana dalam saman 'Civil Forfeiture' tahun lalu, DOJ berkata sejumlah AS$731 juta yang didakwa diseleweng daripada 1MDB mengalir ke dalam akaun peribadi MO1.
Justeru, Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Apandi Ali perlu mendakwa segera Najib kerana semua keterangan yang didedahkan DOJ ini sudah pasti berada di atas meja beliau sebelum ini hasil siasatan yang dijalankan SPRM.
Ketua Polis Negara juga perlulah bersikap lebih profesional dan diligent untuk mencampuri tindakan DOJ ini kerana ia bukan tindakan saman sivil, tetapi tindakan jenayah.
Fakta yang didedahkan adalah berhubung salahlaku jenayah perdana menteri di bawah Kanun Keseksaan (Penal Code) dan AMLA.
SPRM pula hendaklah menghantar semula kertas siasatan dan syor pertuduhan terhadap perdana menteri kepada peguam negara.
Amatlah diharapkan agar peguam negara menjaga kepentingan dan maruah negara mengatasi MO1. Adalah amat penting untuk peguam negara memelihara keluhuran undang-undang.
FAIZ FADZIL adalah timbalan ketua pemuda AMANAH.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.