Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apa yang disiarkan menerusi akaun Facebook DrMAZA.com dengan label “puisi pagi Jumaat” pada 21 April 2017 bukanlah sebuah puisi atau sajak. Sebaliknya, ia hanyalah kata-kata hasutan berniat jahat yang dirakamkan oleh mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin dengan tujuan jelas iaitu mengganggu ketenteraman awam.

Pada keesokan hari, Asri cuba tampil merasionalkan penggunaan frasa “mempertuhankan lembu” yang kononnya ditujukan kepada “kerajaan Modi di India yang membiarkan saban hari Muslim dibunuh dengan kejam hanya kerana memakan daging lembu”.

Bagaimanapun, kawalan kerosakan (damage control) yang cuba dilakukan Asri sudah terlewat kerana rasional yang cuba dikemukakan itu ternyata hanya usaha menyelamatkan diri selepas hasutan (bukan sajak) yang dipaparkan itu mendapat kecaman masyarakat pelbagai kaum dan agama yang cinta akan keamanan dan keharmonian.

Kata-kata hasutan yang dilemparkan oleh Asri amat jelas:

“..apabila yang mempertuhankan lembu bersatu..
lantas menyeru agar pendakwah kita dibelenggu..
mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati..”

Ternyata Asri tidak membaca semula kata-kata hasutan yang disiarkannya sebelum mengeluarkan kenyataan baharu kononnya frasa “mempertuhankan lembu” ditujukan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi di India.

Sekiranya frasa itu ditujukan kepada kerajaan pimpinan Modi, frasa “mahu diserahkan kepada kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati” merujuk kepada kerajaan yang mana pula?

Berdasarkan kedudukan Asri sebagai seorang mufti, memanglah amat memalukan dan mengaibkan bukan hanya bagi umat Islam di Perlis dan Malaysia, tetapi juga bagi kerajaan Malaysia, apabila individu berkenaan mengeluarkan kata-kata yang menghina penganut ajaran Hindu, selain menggelarkan kerajaan India sebagai “kerajaan zalim menyembah api dan penganut sati”.

Apa yang dikemukakan oleh Asri sebagai “fakta” mengenai penganut ajaran Hindu – sama ada di India atau di Malaysia – adalah kenyataan berunsur fitnah dan kata-kata hasutan yang sengaja cuba mencabar dan memaksa pembaca (penganut Hindu) bertindak balas secara negatif.

Asri ternyata amat jahil dan cetek ilmu. Realiti ini amat jelas dan nyata menerusi kandungan kenyataan berunsur hasutan yang dilabelnya sebagai “puisi pagi Jumaat”.

Sekiranya Asri meluangkan sekitar 10 minit membaca makalah bertajuk “Lembu dalam Budaya Hindu” (Malaiur Manikam, 2015), dia akan faham bahawa penganut Hindu tidak “mempertuhankan” haiwan berkenaan.

Apabila makalah berkenaan mula-mula tersiar di Free Malaysia Today (5 Disember 2011), pembaca pelbagai kaum dan agama berkongsi kerana tertarik dengan maklumat yang terkandung di dalamnya. Nampaknya Asri terlalu sibuk di “makmal hasutan dan perkauman” sehingga terlepas pandang akan makalah itu.

Asri juga nampaknya tinggal di dalam gua sewaktu kontroversi novel Interlok: Edisi Murid (2010) sepanjang tahun 2011. Kalau tidak, tentu dia akan sedia maklum mengenai sensitiviti hal-hal berkaitan “kasta”, “paria” dan sebagainya bagi kaum India di Malaysia.

Sebagaimana skrip yang sering diucapkan puak penghasut, etnosentrik, fanatik dan pelampau, Asri juga mengulangi skrip “di sini (Malaysia) pula tidak pernah mereka (kaum India) berterima kasih kepada apa yang ada.”

Nampaknya Asri tidak cukup ilmu untuk memahami konsep kewarganegaraan. Mungkin baginya, Zakir Naik (“pendakwah kita”) yang diberikan taraf pemastautin tetap (PR) secara senyap-senyap oleh kerajaan sekitar lima tahun lalu lebih layak menjadi “warga Malaysia” berbanding kaum India yang sudah beberapa abad berada di sini sebagai warga.

Asri juga menuduh kaum India di Malaysia sebagai “berpakat mereka membuat angkara”. Mungkin bagi Asri dan orang-orang yang sama IQ dengannya, apabila kaum India dan Cina bersuara memperjuangkan hak dan kebenaran, maka dilabel sebagai “membuat angkara”.

Manakala, apabila puak penggalak keganasan dan penghasut seperti Zakir Naik datang ke Malaysia dan cuba memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum dan agama, maka dijunjung di atas kepada sebagai “pendakwah kita”. Peribahasa Melayu “bagai kaduk naik junjung” memang amat tepat dalam situasi ini.

Semoga Asri segera bertaubat sepenuhnya dan memohon keampunan seikhlas-ikhlasnya daripada Allah kerana dia secara terang-terangan sudah terbabas daripada ajaran Islam dan sunnah Rasulullah.

Asri juga perlu memohon maaf secara terbuka kepada kaum India, penganut Hindu dan masyarakat Malaysia secara amnya atas penyiaran kenyataan berbaur hasutan dan berniat jahat itu yang secara terang-terangan bertujuan mengganggu ketenteraman awam.


UTHAYA SANKAR SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan pengerusi Persatuan Pembangunan Kemahiran Insaniah Kaum India (Insaniah). Buku Malaiur Manikam (2015) dan Mandala Bicara (2016) banyak memperkatakan mengenai budaya kaum India dan Hindu.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS