Pada 17 Disember lalu saya ditangkap lagi ketika majlis kumpul dana bersama peminat-peminat.
Polis juga merampas lebih 1,000 buah buku dengan 12 judul menyebabkan kerugian dianggar RM30,000.
Saya telah di bawa ke balai polis dan disiasat di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan atas alasan "mengancam demokrasi berparlimen."
Dua orang pembantu saya dan dua orang peminat juga turut ditahan. Saya disoal selama 6 jam dan dibebas dengan ikat jamin pada tengah malam. Saya diminta melapor diri semula kepada polis pada 30 Disember ini.
Menurut polis, mereka akan ke mahkamah untuk melucut hak buku-buku saya.
Tangkapan tersebut adalah kali kedua dalam tiga minggu. Pada 26 November lalu, saya ditangkap dan dimasukkan ke lokap di bawah Akta Hasutan.
Tangkapan itu dibuat sehari selepas Pemuda Umno menyerang pameran kartun saya di Komtar, Pulau Pinang.
Kejadian ini menambah senarai panjang tekanan dan kekerasan oleh kerajaan Malaysia terhadap saya.
Pertengahan November lepas, kerajaan mula mengenakan sekatan menghalang saya dari keluar negara. Selain itu, saya sekarang sedang menghadapi sembilan tuduhan di bawah Akta Hasutan.
Sebelum itu, saya pernah dilokap dua kali di bawah Akta Hasutan, tujuh buku saya diharam, tiga kilang pencetak yang mencetak buku saya diserbu.
Pejabat saya juga telah beberapa kali diserbu pihak berkuasa dan pengandali laman web saya ditangkap.
Garis masa dalam pautan tersebut menunjukkan tekanan dan kekerasan terhadap saya meningkat dari tahun 2009 sehingga sekarang.
Ini selari dengan kadar kenaikan rasuah dan ketidakadilan. Kerajaan rasuah takut kepada kartun.
Saya ingin menyatakan pendirian: Bakat bukan anugerah, tapi sebuah tanggungjawab.
Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai kartunis untuk membongkar rasuah dan ketidakadilan.
Adakah saya takut dipenjara? Ya. Tetapi tanggungjawab lebih besar dari ketakutan.
Mereka boleh haramkan buku saya, mereka boleh haramkan kartun saya, tetapi anda tidak boleh mengharamkan minda saya. Saya akan terus melukis hingga ke titisan dakwat terakhir.