Menjelang tengah malam tadi gempa bumi dengan skala 8.7 telah melanda Pulau Sumatera, menyebabkan ribuan orang terkorban. Gegaran ini turut dirasai penduduk di Lembah Kelang, Shah Alam, Damansara, Kuala Lumpur dan beberapa negeri seperti Melaka dan Johor.
Kejadian yang berlaku lewat jam 12.09 pagi itu begitu menggemparkan penduduk Malaysia, terutamanya yang tinggal di ibukota. Reaksi penduduk yang disiarkan melalui radio Ikim pagi tadi ialah apa yang berlaku itu sebagai satu peristiwa yang menginsafkan.
Ada yang merasakan dunia hendak kiamat. Ada yang takut dan gerun. Itulah kuasa Allah SWT, pencipta yang Maha Agung. Bencana gempa bumi yang berlaku selepas tsunami ini sebagai satu lagi peringatan Allah SWT kepada kita hambaNya yang mahu berfikir.
Realiti di Malaysia pada masa ini menunjukkan betapa banyak penghinaan yang dilakukan oleh individu tertentu terhadap agama Islam itu sendiri. Ia mungkin juga akibat terlalu banyak kemungkaran yang dilakukan oleh manusia di muka bumi ini tanpa ada golongan yang mampu mencegahnya.
Mungkin umat Islam masa kini terlalu melampau mencabar kuasa Allah SWT. Atau mungkin juga ianya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita hambaNya supaya insaf dan sedar.
Segera bertaubat dan memohon ampun di atas segala kemungkaran, kesilapan, ketelanjuran dan kejahilan kita selama ini.