Inflasi penggredan telah menjadi isu panas sejak kebelakangan ini terutama di negara-negara maju dan tidak kurangnya dalam negara kita.
Isu inflasi penggredan menjadi lebih signifikan apabila banyak keputusan peperiksaan di institusi pengajian tinggi di negara kita dipertikaikan.
Ini berlaku, terutamanya apabila graduan yang mempunyai kelulusan tinggi tidak mampu menterjemahkan kemampuan yang tertera di atas ijazah, diploma mahu pun sijil yang diperoleh.
Tahap inflasi penggredan terutama di kolej dan universiti memang mengejutkan. Namun tidaklah menjadi kejutan jika Universiti Harvard (dalam tahun 1992) sendiri menunjukkan 91 peratus lulusan sarjana muda mereka memperoleh B- atau gred yang lebih tinggi.
Dalam tahun 1993, hampir 86.3 peratus lulusan Harvard memperoleh gred kepujian. Di Stanford, hanya 6 peratus sahaja lulusan mereka yang mendapat gred C.
Dan Stanford juga tidak membenarkan atau mengadakan gred F (bagi lulusannya).
Di Mankato State University, peratusan yang berjaya lulus pengajian dengan kepujian sekitar 25 peratus.
Di Malaysia juga tidak kurangnya, bahkan pernah kedengaran jika mahukan jaminan A, hanya perlu mendapatkan tempat pengajian di institusi tertentu.
Sebelum meneroka sebab berlakunya inflasi penggredan, lebih mustahak untuk mendefinisikan inflasi penggredan.
Definisi paling jelas ialah corak gred yang berubah agar majoriti besar pelajar dalam kelas, kolej atau institusi pengajian rendah atau tinggi akan menerima atau memperoleh gred lebih tinggi bagi kuantiti dan kualiti sama ke atas kerja yang dijalankan pelajar sebelumnya.
Persamaan yang dimaksudkan ialah keputusan GPA yang sama diperoleh pelajar atau calon yang mempunyai kemahiran akademik rendah atau pelajar lemah.
Versi yang lebih kurang persamaannya ialah “deflasi atau kecutan kandungan” yang mana calon pelajar memperoleh gred yang sama seperti pelajar sebelumnya tanpa berusaha lebih dan tanpa perlu belajar dengan baik.
Menarik untuk diketahui bahawa sebenarnya inflasi penggredan bukanlah sesuatu yang norma dalam pendidikan tinggi.
Menurut rekod, era tahun 1955 hinggalah tahun 1965 adalah era deflasi kandungan. Purata gred dan GPA kekal statik walaupun keputusan peperiksaan menunjukkan skoran bagi calon pelajar adalah tinggi.
Ketika tempoh ini, penggredan tidak memberi kelebihan kepada calon pelajar yang mempunyai keputusan yang lebih baik.
Senarai tertera di bawah kerap dikatakan sebagai sebab-sebab berlakunya inflasi penggredan:
a) Tekanan institusi untuk mengekalkan bilangan pelajar. Cara termudah untuk mengekalkan bilangan pendaftaran pelajar adalah dengan mengekalkan pelajar di kampus.
Jemaah pengajar, jabatan, kolej dan bahkan mana-mana institusi pengajian secara tersirat percaya dengan memberi pelajar markah yang tinggi, ia akan meningkatkan status pengekalan dan memberi tarikan terhadap kuliah dan program kursus.
Pelajar akan merasakan mereka diperlukan sebagai pengguna pendidikan dan akan lebih berhasrat untuk berjaya dari mempelajari.
b) Meningkatkan perhatian dan kepekaan terhadap situasi krisis personal pelajar. Contoh paling ketara adalah ketika zaman perang atau zaman kekacauan.
Bagi pelajar yang memperoleh gred rendah, kebanyakannya akan beralih kepada bidang ketenteraan. Kebanyakan pengajar dan institusi akan memberi atau menguna pakai polisi penggredan yang liberal bagi meminimumkan kemungkinan gred yang rendah.
Terdapat sumber-sumber yang menyatakan bahawa tempoh inilah tempoh inflasi penggredan kerana pada ketika itu pelajar-pelajar itu adalah profesor sekarang ini.
c) Gred tinggi diberikan untuk memperoleh penilaian pelajar yang baik. Dalam meningkatkan usaha akauntabilti pusat pengajian, kebiasaannya kolej atau institusi pendidikan menjalankan penilaian pelajar terhadap pusat pengajian dan tenaga pengajar yang kemudiannya dilaporkan dan dihebahkan.
Penilaian oleh pelajar adalah penting bagi kedudukan dan peluang kenaikan pangkat tenaga pengajar.
Tenaga pengajar yang menggagalkan atau memberi gred yang rendah kepada pelajar biasanya akan diberi penilaian yang rendah.
Oleh itu kebanyakan tenaga pengajar yang tidak mahu kedudukan dan kenaikan pangkat mereka terjejas akan memberi gred yang tinggi kepada calon pelajar.
d) Faktor peningkatan penggunaan motivasi dan subjektif dalam penggredan. Faktor-faktor seperti usaha pelajar, kegigihan pelajar dan kehadiran pelajar ke kuliah biasanya memihak kepada pelajar yang memenuhi ciri-ciri yang diingini.
Ini akan menyebabkan corak penggredan melencong ke atas.
e) Perubahan kepada amalan dan polisi penggredan. Kekerapan penggunaan cubaan dan latihan, penggredan secara kontrak, amalan menjalankan tugasan secara berkumpulan, polisi menarik diri yang liberal, membenarkan dan memberi pemarkahan kepada jawapan tidak lengkap, dan membolehkan calon mengulang program atau membuat semula tugasan atau peperiksaan bagi memperbaiki gred yang diperoleh menyumbang kepada inflasi penggredan.
f) Sikap pusat pengajian dan tenaga pengajar. Tenaga pengajar yang percaya bahawa dengan memberi gred yang baik dan tinggi kepada calon adalah salah satu usaha untuk dikatakan “tenaga pengajar yang baik” berbanding hasil usaha sebenar calon yang lemah akan memberi gred yang tinggi.
Terdapat juga tekanan diletakkan ke atas pihak pentadbir ujian yang akan dikatakan gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai tempat pengajian. Implikasinya adalah adalah lebih mudah untuk/atau beri saja ‘gred yang baik’ dari ‘menyusahkan keadaan’.
g) Deflasi atau kecutan kandungan. Bagi institusi besar, harapan dan kesannya adalah untuk merendahkan jangkaan dan permintaan bagi program tertentu.
Dasar kemasukan yang agak liberal, sebilangan pelajar yang memasuki program melalui cara mudah dan tertentu, atau kumpulan pelajar yang bekerja dan mengikuti program secara jarak jauh atau separa-masa akan cuba meminta tenaga pengajar untuk merendahkan jangkaan pencapaian dengan memohon untuk di kurangkan penggunaan buku teks, mengurangkan penulisan, dan mengurangkan tugasan bagi program.
Hasrat mereka mungkin harus di puji, namun hasilan keputusannya akan menyebabkan gred inflasi.
h) Perubahan misi. Berkemungkinan juga terdapat beberapa institusi tidak menitik beratkan misi pengajaran tetapi lebih gemar menawarkan komponen penyelidikan atau perkhidmatan.
Ada juga pusat pengajian tidak memihak kepada penggredan dan penilaian. Kurang perhatian terhadap penggredan dan penilaian akan menyebabkan kelemahan terhadap mutu dan kualiti program.
Kegigihan pusat dan institusi pengajian terhadap inflasi penggredan sejak ke belakangan ini menghasilkan beberapa implikasi penting yang antaranya:
1) Nilai menurun dan kepentingnnya terhadap kelulusan lulusan akademik kolej dan pusat pengajian.
2) Maklumat tidak konsisten dan tepat kepada bakal majikan tentang kemahiran lulusan pusat pengajian. Kini, majikan menekankan pengalaman kerja lulusan dalam proses pengambilan kerja. Ini menyebabkan pelajar harus bertungkus lumus dalam kerja tugasan yang diberikan .
3) Pelajar tidak dimaklumkan respon sebenar terhadap kekuatan dan kelemahan akademik mereka.
4) Kelemahan berterusan terhadap kualiti dan mutu pembelajaran kerana tenaga pengajar tidak mempunyai kekuatan untuk mengatasi atau melawan keadaan semasa.
e) Dengan nilai yang dipaparkan, tekanan akan meningkat bagi pusat pengajian untuk cuba mentaksir pencapaian pelajar mereka.
Tentu sekali penyelesaian yang jelas untuk perdebatan ini, institusi haruslah berbincang secara serius mengenai gred dan penggredan.
Beberapa perbincangan mengenai jangkaan gred bagi pelajar akan membantu pusat pengajian menentukan polisi penggredan.
Namun ada juga beberapa institusi yang cuba membuat pemindaan terhadap bentuk menggred dengan harapan dapat menyampaikan dengan jelas pencapaian pelajar yang sebenar.
Beberapa perubahan yang berkemungkinan termasuklah:
a) Penggunaan skala gred yang lebih mantap. Penggunaan lima jenis kategori gred (A-F) sedikit sebanyak menyumbang kepada inflasi penggredan. Pihak pentadbir ujian tentunya dan pastinya akan mengubah markah dan gred pelajar ’atas-pagar’ kepada gred lebih tinggi. Penggunaan sistem penggredan ’campur-tolak’ boleh membantu menyegarkan kencenderungan inflasi ini dan turut dijangka akan memberi pengukuran yang lebih tepat relatif kepada pencapaian pelajar.
b) Penggunaan gred kelas keseluruhan. Beberapa pusat pengajian telah mengambil usaha menganotasikan transkrip dengan menambahkan beberapa perspektif gred. Salah satu variasi adalah mencatatkan gred individu dengan tambahan makluman ‘min dan median kelas serta bilangan di dalam kelas’. Salah satu variasi lagi adalah menggunakan sistem gred yang mana gred kelas dibahagikan kepada dua. Nombor pertama adalah gred pelajar dan nombor kedua adalah gred keseluruhan kelas. Oleh itu gred dan transkrip akan kelihatan seperti 3.0/2.7. Ini bermaksud, pelajar mendapat gred B dalam kelas yang keseluruhan gred kelas adalah 2.7.
AZIZI AHMAD seorang pengajar berkelulusan sarjana pendidikan.