Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Belum pun sampai satu tahun Masjid Bandar Baru Senawang mula digunakan, projek memperbesarkan masjid telah dimulakan pada bulan Disember 2004 lalu. Ini adalah untuk menampung kesesakan jemaah yang hadir untuk menunaikan ibadah solat Jumaat.

Menurut cerita para jemaah, Menteri Besar Negeri Sembilan yang pernah melawat masjid ini sebelum ini, turut menyatakan keprihatinan beliau bahawa keluasan masjid sekarang tidak sesuai untuk menampung jumlah jemaah kariah di sekitarnya.

Ini memandangkan Masjid Bandar Baru Senawang ini dikelilingi beberapa taman perumahan, kawasan perindustrian serta kawasan perniagaan yang menjadi tumpuan, bukan hanya masyarakat Senawang, bahkan masyarakat seluruh Negeri Sembilan.

Sejak projek memperbesarkan masjid ini dilakukan, diperhatikan aspek-aspek keselamatan dan kemudahan asas jemaah tidak diambil berat oleh pihak kontraktor yang menjalankan projek tersebut. Apa yang membimbangkan jemaah ialah keselamatan anak-anak yang hadir kebanyakkannya di saf belakang semasa solat Jumaat.

Setakat laporan ini ditulis bekalan elektrik ke tempat wudhu dan tandas telah terputus, menyebabkan kesukaran kepada jemaah yang hadir untuk solat Maghrib, Isya' dan Subuh.

Begitu juga dengan bekalan air yang dikatakan tidak sempurna, menyebabkan beberapa pili air sahaja yang boleh digunakan dan menyebabkan para jemaah lelaki terpaksa menggunakan kawasan wudhu dan bilik air wanita.

Menurut papan tanda projek yang terpampang, projek memperbesarkan masjid ini dijangka akan siap pada Sept 7 tahun ini. Sekiranya aspek-aspek keselamatan ini tidak diambil tindakan segera, adalah dibimbangi ianya akan membahayakan keselamatan para jemaah, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang sentiasa merasa seronok melihat jentera-jentera yang berada di tapak projek dan bermain-main di kawasan yang tidak dipagari dengan sempurna.

Pihak kontraktor serta pihak Jabatan Kerja Raya hendaklah mempastikan projek yang sedang berjalan ini mempunyai tahap keselamatan yang baik, bukan hanya untuk pekerja projek, bahkan yang lebih utama ialah para jemaah yang menggunakan masjid tersebut setiap waktu solat pada setiap hari.

Sekiranya perkara ini tidak dapat dilaksanakan maka pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan hendaklah mengambil alternatif lain dengan menutup sementara masjid tersebut dan mengalihkan aktiviti masjid tersebut ke surau yang berhampiran.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS