Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

AMK menjunjung kasih ke bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang telah bersidang dan tampil dengan kenyataan bersama untuk menegur kepimpinan tertinggi BN hari ini.

Tindakan para pemimpin tertinggi BN itu mengakibatkan negara dan rakyat berada di dalam krisis kepimpinan dan ekonomi yang parah.

Majlis Raja-Raja mengeluarkan titah menuntut agar isu skandal 1MDB diselesaikan dengan segera dan agar setiap pemimpin politik agar menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti yang termaktub di dalam Rukun Negara.

Keprihatinan dan ketegasan dalam saranan ini adalah tepat pada waktunya.

Majoriti rakyat telah bersuara dan menyatakan pendirian bahawa mereka hilang keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan BN.

Luahan ini bukan hanya muncul di media sosial atau diperolehi melalui kajian bebas. Ia juga boleh dilihat melalui kejayaan perhimpunan aman BERSIH 4 yang menunjukkan rakyat menuntut perubahan kepimpinan dan reformasi sistem bagi menyelesaikan krisis ini.

AMK mendesak agar Datuk Seri Najib Razak segera meletakkan semua jawatan beliau di dalam kerajaan, sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Najib dilihat gagal menjawab dengan fakta dan bukti yang jelas berkenaan skandal yang membelenggu dirinya.

Selain itu, perdana menteri juga dilihat enggan berhadapan dengan siasatan dan perbicaraan yang rakyat hilang kepercayaan dan seterusnya menjejaskan kedudukan negara pada pandangan dunia.

Integriti dan tata kelola kerajaan BN yang terus dipersoalkan turut menjejaskan ekonomi negara yang akhirnya membebankan rakyat.

AMK juga menggesa semua ahli parlimen, waima dari kerajaan mahupun pembangkang, agar bersepakat untuk mengemukakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Usul undi tidak percaya ini adalah permulaan kepada perubahan dan reformasi sistem yang wajib dilaksanakan bagi menyelesaikan krisis yang melanda negara ini.

Perbezaaan pendapat dan apa jua perselisihan yang wujud di kalangan Ahli Parlimen harus diketepikan demi kepentingan negara.

Rakyat bakal menjadi saksi sama ada ahli parlimen hari ini bakal dikenang sebagai wakil rakyat yang menyelamatkan negara, atau yang telah membenarkan negara terus dihancurkan oleh Datuk Seri Najib Razak dan BN.


DR AFIF BAHARDIN timbalan ketua AMK Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS