Benarlah bagai dikata Melayu mudah lupa. Dalam kes Shahrir Abdul Samad, Melayu membuktikan mereka mudah lupa. Tidak ada suara bersungut, menentang atau menegur Presiden Umno, Abdullah Ahmad Badawi, supaya jangan melantik Shahrir menganggotai Majlis Tertinggi (MT).
Kenapa perlu lantik Shahrir? Bukankah beliau pernah menjadi 'penderhaka' Umno (meminjam kata-kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein). Pada bulan Ogos 1988, Shahrir bertindak mengosongkan kerusi Parlimen Johor Bahru kerana membantah Dr Mahathir Mohamad tidak melantiknya menjadi Ketua Penaja Umno Bahagian Johor Bahru.
Mahathir menamakan Allahyarham Yunus Sulaiman sebagai ketua penaja dan dalam masa yang sama, melantiknya menjadi Ahli MT Umno. Shahrir bertanding semula atas tiket Bebas dengan menggunakan lambang 'kunci'. Khaled Noordin ikut sama. Khaled adalah Pengarah Pilihanraya Bebas dan ketua operasi bilik gerakan calon Bebas.
Shahrir menang dengan majoriti 12,613 undi mengalahkan calon BN yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Allahyarham Cikgu Mas'ud Abd Rahman. Muhyiddin Mohd Yassin yang menjadi Menteri Besar Johor ketika itu menjadi musuh Shahrir hinggalah ke hari ini.
Kalau sesiapa bertanya Shahrir kenapa dia meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Johor Bahru, Shahrir akan menjawab: 'Saya menyahut cabaran Ketua Pemuda Umno Negeri Johor ketika itu, Abu Bakar Dewa supaya saya mengosongkan kerusi."
Terlalu remeh alasan Shahrir tetapi itulah Shahrir. Perderhaka yang kini diangkat menjadi 'hero'. Bertanding naib presiden dan dilantik semula menjadi Ahli MT. Apa lebihnya Shahrir? Shahrir adalah sepupu Timbalan President Umno Najib Tun Razak.
Bapa Shahrir adalah adik-beradik emak Najib. Shahrir juga sepupu kepada Hishammuddin. Bapa Shahrir adalah adik beradik emak Hishammuddin. Shahrir dilahirkan di Pahang. Khaled dilahirkan di Muar. Shahrir menjadi AJK Umno Labis sebelum aktif di Johor Bahru.
Sebelum bertanding jawatan naib presiden, Shahrir dengan angkuh memberi amaran; 'Sesiapa yang kalah naib presiden, letak jawatan menteri'.
Shahrir mungkin menujukan amarannya itu kepada Muhyiddin Mohd Yassin yang memang musuh tradisinya. Mungkin juga ditujukan kepada Mustapa Mohamed dan Isa Abd Samad. Kalau dengar kegarangan Shahrir itu, maka Shahrir akan menolak sebarang perlantikan untuknya jika kalah!
Tetapi Shahrir adalah Shahrir. Dia ada operasi dan strateginya sendiri. Hari ini, entah atas alasan apa, perdana menteri melantiknya sebagai ahli MT. Johor sudah mempunyai lapan wakil dalam MT, termasuk Muhyiddin (Naib Presiden), Hishammuddin (Ketua Pergerakan Pemuda), Noraini Ahmad (Ketua Puteri).
Calon MT dari Johor yang menang ialah Khaled Nordin, Abd Ghani Othman, Azalina Othman, Dr Abd Latiff Ahmad dan Syed Hamid. Jumlah kini menjadi sembilan, selepas dicampur dengan perlantikan Shahrir.
Sembilan wakil dalam MT dari sebuah negeri amatlah ramai. Untuk apa? Jika Johor mempunyai 26 bahagian dijadikan alasan perlantikan, mengapa perhatian yang sama tidak diberikan kepada Sabah?
Sabah mempunyai 25 bahagian tetapi hanya mempunyai dua wakil. Musa Aman dan Mohd Shafie Afdal. Mengapa perdana menteri tidak boleh memberi seorang atau dua tambahan dari Sabah? Apakah Sabah tidak penting dalam lanskap politik Umno?
Berbalik kepada isu Shahrir, dahulu dia memperkenalkan laman webnya sendiri. Kononnya mahu menjadikan medan dia memperjuangkan nasib ahli-ahli Umno yang 'teraniaya' di era kepimpinan Mahathir. Khabarnya, ketika menjadi ahli MT di zaman Mahathir, ada sekali dua dia bercakap.
Tetapi apabila Mahathir 'jawab', Shahrir terdiam. Lepas kena 'lipat', terdiam terus. Hari ini, ke mana perginya lamanweb itu? Apa yang Shahrir perjuangkan? Kalau setakat meminta S Samy Vellu menjadi menteri yang telus atau mendesak menteri letak jawatan, kerja ini orang lain pun boleh buat.