Dua tahun lalu, Pusat Pengajian Dan Maklumat Masyarakat Cina (Huayan) mengadakan seminar untuk membincangkan topik 'Masyarakat Cina dan Populasi'. Seminar ini telah menimbulkan perbincangan hangat di kalangan masyarakat Cina tentang perubahan struktur populasi kaum Cina di negara ini.
Pada tahun ini, Huayan mengadakan seminar yang sama pada 3 Ogos lalu. Memandangkan nisbah kaum Cina di negara ini semakin merosot, maka seminar tahun ini telah mendapat perhatian serius daripada masyarakat berkenaan.
Bagaimanapun, para penyelidik yang menyertai seminar ini telah membentangkan kira-kira sebelas tesis yang bukan sahaja menganalisis masalah itu dari segi penurunan nisbah populasi masyarakat Cina di Malaysia, malahan turut membincangkannya dari pelbagai sudut.
Ini termasuk kadar perubahan populasi pelbagai kaum di Malaysia, masalah kekurangan tenaga manusia berkualiti, kadar penuaan populasi (Cina) di Malaysia, masalah kahwin lewat, bidan berumur tinggi serta kadar peralihan populasi di Malaysia.
Memang membosankan sekiranya kita hanya membincangkan topik ini dari segi perubahan populasi sahaja kerana biasanya mereka yang membincang isu ini kebanyakannya menyeru ibu bapa keturunan Cina supaya beranak dengan lebih banyak agar dapat'bersaing' dengan kaum lain.
Beberapa tahun lalu, penulis pernah berdebat dengan penulis di akhbar harian utama Cina berhubung isu ini. Penulis mendapati kebanyakan mereka bimbang dengan penurunan nisbah populasi masyarakat Cina di negara ini tetapi mereka gagal mencadangkan cara mengatasinya, melainkan menyeru ibu bapa keturunan Cina supaya beranak banyak.
Retorik sebegini kadangkalanya bukan sahaja tidak masuk akal dan menunjukkan paradigma etno-sentrik sesetengah orang, malahan turut menunjukkan kesempitan fikiran mereka.
Mereka yang membuat kesimpulan itu sebenarnya gagal memahami bahawa kadar kelahiran yang menurun merupakan fenomena dan perubahan struktur populasi sesebuah masyarakat dalam arus urbanisasi dan modenisasi sebagaimana yang dinyatakan oleh para ahli antropologi.
Proses urbanisasi pada mulanya akan menyebabkan pertambahan penduduk di bandar, tetapi ianya akan merosot pada satu ketika, sehingga ianya mencapai satu tahap yang 'stabil', di mana kadarnya tidak akan berubah besar.
Fenomena ini mesti berlaku kerana sumber asli yang terhad dan kawasan bandar, tidak mungkin menampung ramai penduduk. Jika tidak, wujudlah persaingan sengit di antara penduduknya sehingga mengakibatkan kemerosotan taraf hidup di bandar. Fenomena ini sebenarnya adalah normal.
Sudah tentu pertambahan penduduk bandar akan menjejaskan kualiti hidup mereka yang berpendapatan rendah. Ini akan berlanjutan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan tinggi.
Adakah masalah seperti jenayah, kesesakan lalulintas, pencemaran udara dan sebagainya tidak akan menjejas setiap penduduknya? Dalam perkara ini, kajian terhadap populasi sebenarnya berkait rapat dengan perancangan bandar.
Dalam konteks masyarakat Cina, adalah sukar sekiranya terdapat mereka yang berhasrat mengubah fenomena ini (kadar kelahiran yang semakin menurun di masyarakat Cina), sedangkan kita tahu fenomena ini pasti akan berlaku dan tidak perlu ditukar haluannya.
Hanya apabila kadar perubahan populasi menjadi sangat drastik (sama ada bertambah secara mendadak atau sebaliknya), perlulah kita mengambil langkah-langkah wajar untuk menanganinya supaya ia kembali ke paras normal.
Pada masa ini, dasar sumber manusia di negara maju menjurus kepada permintaan terhadap kualiti dan bukan kuantiti. Kini mereka hanya perlu mengekalkan kadar penggantian penduduk yang stabil. Mengikut kajian dan statistik, mereka boleh mencapai tujuan ini hanya dengan mengekalkan kadar kelahiran 2.1 orang anak untuk setiap wanita setahun.
Sebab utama isu nisbah populasi masyarakat Cina menjadi kebimbangan ialah kegagalan kerajaan di negara ini menjamin kehidupan makmur di Malaysia dan menularnya semangat nasionalis Melayu yang ekstrim.
Kedua-dua faktor ini turut menyebabkan masyarakat Cina bimbang, dengan merosotnya nisbah populasi Cina di Malaysia, hak dan kepentingan mereka juga akan terkakis. Komen penulis terhadap fenomena ini ialah: hak dan kepentingan masyarakat Cina tidak akan terjamin sekiranya masyarakat Cina masih bertolak dalih dengan arus pembaharuan yang semakin melanda negara ini.
Bagi penulis, langkah proaktif yang boleh diambil ialah bergabung tenaga melalui usaha-usaha progresif untuk memperjuangkan hak asasi dan demokrasi dalam konteks yang lebih luas. Hanya dengan tertubuhnya masyarakat Malaysia yang demokratik, liberal, adil dan sekular, maka semangat nasionalis Melayu yang sempit ini dapat dikikis. Mungkin ketika itu, kemerosotan nisbah populasi masyarakat Cina di Malaysia sudah bukan satu masalah lagi.