ADS

Medan politik pembangkang baru-baru ini decetuskan dengan pelbagai fenomena baru. Ini didahului dengan huhah kritikan Presiden PRM Dr Syed Husin Ali yang membidas tindakan PAS yang berkali-kali menyebut tentang penubuhan negara Islam, sekaligus menjejaskan hubungan antara parti-parti BA.

Sementara waktu, PRM and Keadilan pula berjaya bergabung membentuk satu parti baru Parti Keadilan Rakyat (PKR). Malangnya, DAP yang sedang berunding dengan Keadilan berkenaan dengan pembahagian kerusi, pula menangguhkan perundingan atas alasan bahawa pemimpim Keadilan tidak mematuhi peraturan-peraturan yang dipersetujui sebelum ini.

Dalam sidang perwakilan PRM yang diadakan baru-baru ini, Dr Syed Husin Ali turut menyaran agar membentuk satu pakatan pembangkang yang baru. Memandangkan tindakan PAS, yang seolah-olah lebih berminat terhadap agenda mereka sendiri untuk membentuk negara Islam di Malaysia daripada prinsip-prinsip dalam Manifesto Bersama BA 1999, saya berpendapat hujah-hujah Dr Syed bernas sekali.

Hujah bernas ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada gerakan politik pembangkang tanahair, malah pengundi-pengundi, khususnya pengundi bukan Islam yang turut melihat kemungkinan wujudnya satu pakatan pembangkang baru yang betul-betul komited terhadap politik 'Pilihan Jalan Ketiga' ( The Third Way ).

ADS

Saranan pembentukan pakatan pembangkan baru Dr Syed Husin malangnya belum lagi dapat dihayati sepenuhnya dalam proses rundingan DAP-Keadilan. Media elektronik malaysiakini melaporkan bahawa Keadilan dituduh melanggar persetujuan rundingan.

Mengikut kenyataan akhbar Ketua Setiausaha Pemuda DAP Loke Siew Fook pada Mac 21, kedua-dua pihak telah bersetuju buat perudingan kali pertama untuk tidak memaklumkan sebarang butir proses rundingan kepada media.

Sepertimana kegagalan rundingan air di antara Malaysia dan Singapura, rundingan DAP-Keadilan turut menghadapi nasib yang sama kerana pemimpin Keadilan Pulau Pinang dituduh mededahkan butiran rundingan kepada media.

ADS

Secara teknikal dan tanpa memihak sesiapa, semua persetujuan perlu diikuti dengan tegas dalam sebarang rundingan. Memang pantang larang perundingan sekiranya mana-mana pihak gagal mematuhinya dan dilihat sebagai tidak jujur dan tidak komited terhadap rundingan.

Kedua-dua parti perlu lebih ikhlas dalam rundingan ini sekiranya mereka ingin memakai strategi 'satu lawan satu'. Keadilan seringkali melabelkan DAP sebagai 'melepaskan politik perkauman', 'tidak melihat situasi keseluruhan' atau terus sahaja membidas DAP sebagai 'opportunist'.

Tetapi hakikatnya, kepentingan dan hak DAP selalu digadai apabila berlakunya perselisihan pendapat dengan Keadilan. Perkara yang sama turut berlaku dalam rundingan pembahagian kerusi kali ini. Ini bukan kali pertama Keadilan dikritik sedemikian.

Sikap Keadilan ini macam terbawa-bawa dalam gerak reformasi. Kolumnis malaysiakini Fathi Aris Omar pernah mengkritik Keadilan bahawa gerakan reformasi yang dipimpinnya masih lagi berangan-angan dengan demonstrasi jalanraya tanpa mahu mendalami erti sebenar reformasi. Minda dan retorik mereka masih lagi berada dalam peringkat berperang dan bukan berfikir.

Keadilan apabila berhadapan dengan isu negara Islam, memilih untuk mendiamkan diri sedangkan warganegara bukan Muslim di negara ini begitu hangat berdebat tentangnya dari masa ke samasa.

Dr Farish A Noor dalam satu laporan akhbar Oriental Daily baru-baru ini turut berkata bahawa penubuhan negara Islam pada peringkat ini masih memerlukan lebih debat di kalangan rakyat. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kuasa penakrifan negara Islam dimonopoli oleh golongan ulama.

Walaubagaimanapun, pemimpin-pemimpin Keadilan bukan sahaja tidak berminat untuk menghadapi soalan negara Islam ini, malahan mereka macam belum benar-benar bersedia menerap semangat reformasi dan nilai-nilai murni asas seperti berpegang janji.

Pada aspek yang lain, saranan Dr Syed Husin boleh dilihat sebagai satu usaha ke arah menyelamatkan medan politik pembangkang. Dengan itu, Keadilan sebagai sebuah parti politk yang memegang teguh kepada keadilan masyarakat (yang turut digolongkan sebagai perjuangan yang menjunjung nilai secular), sepatutnya mampu dan harus manyahut saranan ini, dan bukannya menyorok diri daripadanya.

ADS

Pemimpin Keadilan khususnya yang bukan-Islam perlu bertindak dengan lebih proaktif. Jika tidak, adalah amat malang untuk Keadilan berundur menjadi parti politik sekunder dalam BA, seperti mana MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti kecil lain dalam BN.

Bagi gerakan reformasi, peringkat pertama yang dipenuhi dengan rangkaian demonstrasi telah berlalu. Masyarakat telah lali dengan demonstrasi kosong dan ingin perlu berfikir tentang gerakan ini dengan lebih mendalam, jauh lebih mendalam kerana ianya semakin menyentuh pelbagai aspek kehidupan rakyat jelata negara ini.

Karakter yang berbentuk berfikir inilah yang wajar mencorak gerakan peringkat kedua. Ianya haruslah mampu memecah kekangan fikiran kolot dan membawa wajah baru, takrifan baru dan nafas baru kepada aspek sosial, budaya, sejarah, ekonomi dan politik tanahair.

Takrifan baru yang bakal muncul perlulah mampu mencerminkan kepelbagaian budaya dan agama di negara ini.

Oleh itu, Keadilan harus memahami bahawa melesetnya gerakan reformasi ini bukan kerana rakyat jelata tidak mahu terlibat lagi, tetapi Keadilan masih belum lagi membuka jalan kepada gerakan peringkat kedua.

Dalam menghadapi isu negara Islam khususnya, pendirian Keadilan masih berayun-ayun, sekejap sana sekejap sini bagaikan 'politiking'. Keadilan macam gagal mamahami bahawa 'Ketuanan Melayu' yang dibawa Umno dan 'Ketuanan Agama' yang dibawa PAS perlu ditolak.

Oleh itu, politik Malaysia sekarang sebenarnya memerlukan satu nafas baru yang betul-betul komited terhadap pembinaan politik sekular dengan berasaskan prinsip demokrasi berparlimen.

Selain DAP yang berkali-kali menegaskannya, Keadilan turut mempunyai komitmen dan kewajiban untuk merealisasikannya, dan bukannya tiap-tiap hari befikir macam mana mendapat lebih kerusi dalam pilihanraya, sekaligus melalaikan kewajiban terhadap pemikiran reformasi.

Tiada sebab Keadilan yang seringkali dikata ideologi politiknya yang samar (walaupun sekarang memegang beberapa kerusi di parlimen) tidak dapat melihat masalah yang sebenarnya melanda BA, sekiranya PRM yang berpegang teguh terhadap sosialisme (walaupun satu kerusi pun belum dimenangi) pula dapat melihatnya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS
ADS
ADS