Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
#Janji BERSIH: Ingat 30 Ogos di pancuran air Dataran

Kami merujuk kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengenai 'Himpunan Janji Bersih' malam sambutan tahun baru.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) selaku salah sebuah NGO yang sama mengajak rakyat turun ke Dataran Merdeka mengira detik ulang tahun kemerdekaan negara dengan 'mood' menuntut lapan tuntutan BERSIH ditunaikan menegaskan bahawa:

(1) Setuju sambutan kemerdekaan jangan dipolitikkan, tetapi sedarkah Ismail bahawa sememangnya sudah lama sambutan kemerdekaan negara dipolitikkan. Setuju sambutan ulang tahun kemerdekaan seharusnya meraikan sejarah kemerdekaan negara agar tidak dilupai oleh generasi sekarang dan akan datang. Selama ini sambutan kemerdekaan hanya mengetengahkan lima hingga enam orang sahaja tokoh kemerdekaan negara yang terdiri dari presiden Umno. Ya, Tunku Abdul Rahman terlibat dengan kemerdekaan negara tetapi apa kena mengena usaha memerdekakan negara dengan baki presiden Umno selepas itu?

(2) Sambutan ulang tahun kemerdekaan memang sudah lama ditunggang oleh Umno/BN demi kepentingan politik mereka tetapi tahun ini terlalu melampau kerana tema hari kebangsaan itu sendiri terus disalin tampal ( copy paste ) daripada tema yang digunakan dalam jelajah BN, iaitu Janji Di Tepati. Lagu tema yang digunakan pula jelas telah digunakan dalam program BN bagi menghentam seteru politiknya kemudian diubah sedikit sahaja lirik, bukan sahaja liriknya tiada langsung ciri-ciri kemerdekaan malah ada sumber yang mengatakan ia disadur dari lagu keagamaan dari negara jiran. Sambutan kemerdekaan tahun ini lebih parah lagi dengan kemunculan logo kemerdekaan yang 'buruk' dan kemudian ditarik balik oleh menteri dengan mengatakan kita tidak punya logo rasmi. Jika Ismail menegaskan menolak sentimen politik maka Ismail seharusnya menegur rejim penguasa terlebih dahulu.

(3) Acara Janji Bersih tersebut bukan anjuran jawatankuasa pemandu BERSIH tetapi inisatif 26 pertubuhan bukan kerajaan yang melihat betapa kesempatan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara harus juga dimunculkan desakan mengembalikan hak rakyat untuk punya proses pilihan raya bebas dan adil.

(4) Untuk pengetahuan Ismail, kemerdekaan negara bukan setakat punya garis sempadan negara yang dijaga oleh anggota keselamatan sendiri. Kemerdekaan ialah berkenaan kebebasan dan jaminan hak warga dalam negara itu dan antara yang paling asas ialah untuk punya hak menentukan/memilih siapa untuk mentadbir negara. Maka jelas urusan menuntut untuk punya proses pilihan raya bebas dan adil bukan urusan politik kepartian sebaliknya ia urusan patriotik yang perlu diusahakan semua pihak. Selaku pihak yang menyelia keselamatan dalam negara PDRM juga harus mendokong usaha ini lebih - lebih lagi antara hak yang paling banyak dicabul ialah hak pengundi pos yang selama ini kertas undi mereka ditandakan oleh orang lain.

(5) Acara malam tersebut yang dipanggil #JanjiBERSIH bukan acara berasingan atau acara lain, tetapi ia mengajak seramai mungkin rakyat sama mengira detik kemerdekaan negara yang ke 55, meraikan dengan penuh semangat cintakan tanah air dengan memunculkan mood BERSIH, mendesak lapan tuntutan ditunaikan dengan berkostum serba kuning.

(6) Tidak akan ada sebarang kekecohan sebaliknya program mengira detik kemerdekaan kali ini pasti akan lebih meriah dan ramai serta lebih terarah bukan sekadar bersifat hiburan semata-mata.

(7) Jangan juga terpedaya dengan tindakan 'ketakutan diri melampau' paranoid seperti menteri dalam negeri yang pernah mengharamkan BERSIH dan baju kuning, yang kemudian diputuskan oleh mahkamah bahawa tindakan itu salah. SAMM juga simpati dengan polis yang diperalat ketika itu untuk memburu baju kuning seperti mengesan dadah dan senjata berbahaya. Maka SAMM meminta Ismail untuk tenang dan jangan termakan sangat dengan propaganda parti penguasa regim ini.

(8) SAMM mengajak semua rakyat tak kira latar belakang untuk sama meraikan sambutan mengira detik menjelang ulang tahun kemerdekaan negara dengan serba kuning.

Ingat: #Janji BERSIH, 30 Ogos, 10 malam, dekat pancuran air Dataran Merdeka. Jumpa di sana!


CHE'GUBARD ketua penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS