Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman selama tiga hari, bermula hari ini sehingga Khamis, terhadap suami kepada bekas model dan pelakon popular, Zahnita Wilson.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tengku Kamaruzaman dalam prosiding di mahkamah itu, pagi tadi.
Suspek memakai baju kemeja lengan panjang dan seluar berwarna hitam tiba di perkarangan mahkamah dengan diiringi anggota polis sekitar jam 8.30 pagi.
Semalam, suspek ditahan polis bagi membantu siasatan kes keganasan rumah tangga terhadap isterinya itu.
Dia ditahan selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 323 akta sama dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.
Difahamkan, kejadian berlaku pada jam 10 pagi 26 Nov lalu apabila pelakon terbabit berada di kediaman di Kuantan dan didatangi suspek sebelum berlaku perselisihan faham.
Media sebelum ini melaporkan Zahnita memuat naik satu hantaran di media sosial yang mengejutkan ramai apabila berkongsi dua foto menampakkan matanya lebam.
Dia mendakwa suaminya itu menumbuknya selepas bertanya mengenai kehadiran orang ketiga dalam hubungan mereka.
Pasangan itu dilaporkan mendirikan rumah tangga pada tahun 2005 dan memiliki empat anak.
Perkahwinan pasangan itu dilaporkan bermasalah sejak tahun 2007, namun mereka cuba mencari jalan untuk berdamai.
Zahnita pernah memfailkan perceraian pada tahun 2012 tetapi menariknya semula, awal tahun 2015.
Bekas pelakon itu juga sebelum ini dilaporkan menuntut hak penjagaan kedua-dua anaknya dengan disusuli pada 28 Dis 2015, Zahnita memfailkan semula perceraian.
Dia pernah menjadi pensyarah dalam bidang fesyen di sebuah IPTS di Shah Alam, Selangor sekitar tahun 2015.