Pelakon Hollywood, Anne Hathaway, Julia Roberts dan Eva Longoria adalah antara selebriti yang memberitahu bahawa mereka telah mengundi untuk Kamala Harris dalam pilihan raya Presiden kali ini.
Membuat hantaran di Instagram hari ini, Julia berkongsi imej dia memakai baju-T Potus (Presiden AS) dengan tanda wanita dan pelekat bertulis: “Saya mengundi.”
Pelakon Pretty Woman itu menulis: “Ada masa untuk berharap, ada masa untuk berdoa dan ada masa untuk mengundi. Hari ini adalah harinya.”
Julia sebelum ini menyokong Kamala dari Demokrat serta menghadiri acara kempen untuk calon terbabit.
Anne yang juga pelakon The Devil Wears Prada pula berkongsi gambar dia bersama pelekat undi diiringi kapsyen: "Saya mengundi seperti separuh nyawa negara bergantung padanya, saya mengundi Kamala Harris."
Dia juga menjelaskan menyokong Kamala kerana tertarik kepada pendirian ahli politik terbabit dalam isu pengguguran.
Calon Republikan dan pencabar Kamala, Donald Trump, sebelum ini berkata dia menganggap larangan pengguguran selepas kandungan berusia enam minggu di Florida adalah satu kesilapan.
Bagaimanapun, Trump menentang pengguguran pada peringkat akhir kehamilan dan mengaku menerima penghargaan kerana memainkan peranan dalam pembatalan kes Roe lawan Wade oleh Mahkamah Agung di AS.
Keputusan pada 2022 membenarkan negeri memutuskan sendiri undang-undang berkaitan pengguguran.
Lady Gaga, yang membuat persembahan di perhimpunan untuk Harris pada Isnin, juga mengesahkan dia telah mengundi.
Selain Eva, turut menunjukkan bahawa mereka sudah mengundi ialah selebriti seperti Reese Witherspoon, Blake Lively dan suaminya Ryan Reynolds, Jennifer Aniston, Katy Perry dan Michelle Pfeiffer.
Di Instagram, Eva berkongsi petua untuk hari pengundian dan juga menulis: “Undi anda ialah suara anda!”
Penyanyi, Lizzo, menyiarkan gambar di Instagram menunjukkan dia menghadiri kempen Kamala dengan kapsyen: "Inilah masanya! Ayuh, kita raih kemenangan.”
- Bernama/PA Media/dpa