Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Galeri yang memiliki hati, jiwa
Diterbitkan:  Nov 5, 2024 10:30 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

"Galeri-galeri kecil seperti ini," kata Omar Ariff Ariffin, "lebih mempunyai jiwa".

Hal itu kerana, kata jurufoto terkenal tersebut, di galeri berkenaan ada semacam keikhlasan yang terbit daripada usaha-usaha orang persendirian yang menjayakannya.

Tambah Omar, mereka bermula - pertamanya - kerana minat yang mendalam. Pada masa yang sama kita mesti mengakui yang mereka juga secara tidak langsung dipaksa untuk mencari sedikit keuntungan.

Omar yang telah menghasilkan beberapa buah buku fotografi itu diberi tanggungjawab untuk merasmikan pameran lukisan Alam Niskala di Galeri Karya Di Janda Baik, Pahang milik Liza Othman.

Liza yang juga seorang pelakon terkenal baru-baru ini memenangi anugerah pelakon wanita terbaik melalui sebuah drama TV.

Pada majlis perasmian pameran itu, Omar menolak untuk memberikan ucapan. Sebaliknya dia memilih untuk berbual-bual sambil berkongsi pengalamannya sebagai seorang yang memiliki koleksi lukisan hampir semua pelukis besar negara kita.

Dia memiliki karya-karya daripada pelukis seperti Hoessein Enas, Latiff Mohidin, Ibrahim Hussein, dan ramai lagi, dengan Khalil Ibrahim sebagai artis yang paling digemarinya.

Selain itu Omar juga memiliki banyak arca yang dihasilkan oleh Orang Asli yang tidak ternilai harganya.

Pameran Alam Niskala adalah himpunan karya oleh Raduan Norudin, Syuq Tone, A Zaki Hadri, Qhazril Qhazwan, Irwan Idris, Irham Ramli dan juga Sukairi Shahri.

Alam Niskala mempersembahkan karya-karya abstrak itu juga menjadi medan untuk semua artis yang terlibat untuk membuat tanda akan kehadiran mereka dalam dunia seni catan.

Sebahagian besar pelukis yang terlibat datang dari latar belakang seni bina bangunan, sementara yang lain pula membawa pengalaman masing-masing dari bidang seni grafik.

Seperti yang dikatakan oleh Omar, galeri-galeri persendirian termasuk Galeri Karya Di Janda Baik yang terletak jauh dari pusat dunia catan itu sepatutnya diberikan perhatian yang lebih khusus oleh pihak yang serius mahu melihat ketulusan dalam berkarya.

Karya dianggap hanya komoditi

Para seniman yang terlibat dalam sesuatu pameran yang jarang menjadi buah mulut para kolektor itu akan sentiasa menumpukan perhatian mereka untuk menghasilkan karya yang lebih berjiwa.

Kata Omar, mereka tidak dipaksa untuk mengikut selera pasaran, dan - walaupun mereka juga perlu menjual karya - kepuasan sebenar bagi mereka ialah apabila karya-karya tersebut berjaya dipertontonkan kepada umum.

Mereka yang mahu menggelar diri sebagai kolektor pula seharusnya belajar untuk meladeni galeri-galeri kecil yang tidak senantiasa bekerja keras untuk hanya menjual karya-karya yang mereka bawa.

Menurut Omar lagi, antara kebosanan apabila berkunjung ke mana-mana galeri besar ialah apabila mereka yang hadir hanya dilayan seperti seorang pelanggan.

Dan apa saja layanan yang diterima pengunjung adalah bergantung kepada tebal atau nipisnya kocek mereka itu.

Semakin tebal dompet seseorang, semakin mesra dan hangatlah layanan yang akan diterima. Itu adalah sesuatu yang tidak menyumbang apa-apa kepada kesuburan dunia catan tempatan secara keseluruhan.

Ia juga menjadikan sesuatu karya-karya catan hanya dinilai sebagai suatu komoditi.

Hal tersebut adalah antara penyumbang kepada isu membantutnya perkembangan dunia seni catan tempatan.

Para seniman dilihat sentiasa bekerja untuk menghasilkan karya-karya yang memenuhi cita rasa kolektor dan enggan berfikir lebih jauh daripada itu.

Jarang galeri kecil menolak artis

Hasilnya ialah apa yang kita lihat hari ini. Karya-karya yang dipamerkan langsung tidak mengusik hati, dan kelihatan amat menarik hanya untuk dijadikan hiasan dinding.

Tidak kurang juga pihak yang mahu digelar sebagai kolektor tetapi mencari karya hanya untuk dipadankan dengan sofa di ruang tamu rumah masing-masing.

Kerana itu juga peranan yang dimainkan oleh galeri-galeri pinggiran seperti Galeri Karya Di Janda Baik sebetulnya amat penting. Mereka mengetengahkan seniman dan karya yang belum dipengaruhi oleh pasaran yang terpaksa.

Minat yang betul adalah antara sebab mengapa galeri-galeri seumpama itu diwujudkan. Mereka mungkin terkesima dengan kejayaan galeri-galeri besar lalu mencuba Nasib.

Mereka mungkin juga tertipu dengan keyakinan bahawa menjual karya catan adalah mudah. Namun sesuatu yang harus dipuji adalah mereka itu - yakni pada galeri kecil yang terletak jauh di pedalaman - dengan semua keterbatasannya mempunyai sesuatu yang tidak dimiliki oleh galeri-galeri gergasi di kota-kota.

Mereka mempunyai hati.

Jarang ditemukan galeri-galeri seperti itu menolak mana-mana artis yang mahu berpameran. Semuanya dialu-alukan, dan mereka juga tidak bias apabila mempromosi seseorang seniman yang sanggup bekerja sama dengan mereka.

Semua seniman dilayan dengan saksama tanpa mengira keupayaan artis tersebut, baik dari segi penghasilan karya atau pun kekuatan menjana pendapatan.

Semua orang mesti ada tempat bermula, dan galeri-galeri kecil milik persendirian yang adalah tapak yang perlu selalu ada. Justeru mereka yang bersungguh mencari karya-karya mula seseorang seniman seharusnya memberikan tumpuan kepada galeri seumpama itu.

Impian untuk menjual sesuatu hasil kerja catan tentu saja tidak dapat dielak sama ada pemilik galeri mahupun pembuat karya.

Namun sedikit kecenderungan dalam membelai jiwa juga seharusnya menjadi punca mengapa galeri dan seniman yang terbabit melibatkan diri.

Selain Galeri Karya Di Janda Baik itu, galeri Tukang Arca di Masjid Tanah, Melaka juga adalah galeri kecil milik orang perseorangan.

Ia terletak di kawasan perumahan juga mula gigih mengadakan pameran.

Pameran Chonteng yang sedang berlangsung kini adalah antara usaha yang dilakukan untuk mendekatkan orang awam kepada karya-karya catan yang membuka minda.

Karya-karya daripada Khairul Sani Ismail, Rosli Zakaria, Ronasina dan juga Abdullahjones itu adalah terjemahan bebas daripada proses kehidupan yang dilalui oleh mereka.

Galeri Tukang Arca yang diapit tokong dan madrasah itu juga tentu saja tidak kelihatan elitis untuk dikunjungi oleh semua orang.

Pun begitu galeri tersebut merupakan sebuah persinggahan santai yang lebih mesra kepada masyarakat yang sentiasa dituduh tidak memahami kerja-kerja seni.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS