Tidak lama selepas mengumumkan kehamilan sulungnya baru-baru ini, penyanyi dan pelakon Nabila Razali tidak menjadikan keadaan itu sebagai penghalang untuk dia terus bergiat aktif.
Meluahkan rasa syukur kerana tidak mengalami sebarang alahan, Nabila berkata, dia sempat menjalani pengambaran drama Bawah Payung Awan pada trimester pertamanya.
“Alhamdulillah dipermudahkan, dan penggambaran Bawah Payung Awan semasa trimester pertama hari itu pun sudah selesai.
“Alahan pelik-pelik tak ada, cuma mengidam makan Burger Ramly dan kek Victoria Sandwich.
"Suami (pula) awal-awal itu ada sakit-sakit badan, tetapi Bella masih belum (rasa apa-apa) sebab sekarang pun masih aktif lagi.
“Sakit badan itu normal tetapi kuranglah berbanding suami,” katanya ketika ditemui pada malam kemuncak Anugerah Seri Angkasa 2024 baru-baru ini.
Pelakon berusia 32 tahun itu juga masih giat mempromosikan lagu Tangis yang merupakan runut bunyi bagi drama bersiri yang menggandingkan dia dengan Ben Amir.
Berhasrat untuk mula berehat Dis ini, penyanyi yang ramah disapa Bella itu mendedahkan dia bakal melancarkan lagu baru tidak lama lagi namun enggan mendedahkan butiran lanjut.
"Ini juga satu daripada projek istimewa yang Bella sendiri sangat-sangat teruja dan tak sabar nak kongsi,” katanya yang dijangka bersalin pada awal Jan depan.
- Bernama