Pengarah dan pelakon Farid Kamil akan berusaha untuk menjernihkan kembali rumah tangganya dengan isteri, Diana Danielle.
Farid berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan isterinya yang ingin memfailkan permohonan cerai buat kali kedua semalam.
“Alhamdulillah… saya sudah mendengar perkhabaran tersebut (hasrat Diana untuk bercerai kali kedua).
“Seperti semua orang maklum, saya sayangkan anak dan isteri saya.
“Saya akan berusaha apa saja untuk jernihkan keadaan kembali.
“Insya-Allah doakan yang baik-baik,” katanya melalui video ringkas di Instagram miliknya sebentar tadi.
Melalui tinjauan Malaysiakini di ruang komen hantaran tersebut, rata-rata pengikut dan rakan artis dilihat menyambut baik hantaran tersebut dan mendoakan rumah tangga pasangan itu kembali pulih.
Terdahulu, Diana mengumumkan sudah mengambil keputusan untuk berpisah dengan Farid dalam satu hantaran di media sosialnya.
Diana mendakwa, dia tidak mahu terus percaya dengan janji-janji palsu yang terus ditaburkan oleh suaminya itu.
"Saya ambil keputusan untuk secara rasmi berpisah daripada suami saya dan akan memfailkan perceraian,” katanya.
Bagaimanapun, Diana memilih untuk mengunci mulut mengenai keputusan yang telah dibuat dan menyifatkan rujuk bukan sesuai buat semua orang.
"Tidak, saya tidak akan memberi penjelasan kenapa. Mungkin seperti biasa, dia akan datang dengan bunga, cincin dan janji kosong. Semoga bahagia,” tulisnya.
Untuk rekod, Diana dan Farid pernah bercerai dengan talak satu pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk selepas sebulan berpisah.
Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9 tahun.