Bekas pemain dram OAG, Qi Razali beranggapan kitaran hidupnya sebagai seorang manusia belum sempurna sekiranya dia belum berkahwin dan menimang cahaya mata.
Justeru, kata Qi yang juga pelakon itu, usianya yang sudah mencecah 47 tahun ketika ini adalah fasa cukup sesuai untuknya menamatkan zaman solo dengan berumah tangga.
“Pada umur 47 tahun ini, kalau ada perkara di luar sana yang ingin saya cari adalah untuk melengkapi kehidupan sebagai seorang insan.
“Untuk itu, saya kena berkahwinlah, jadi seorang suami dan baba (ayah) kepada anak-anak.
“Barulah boleh tinggalkan legasi apabila sudah tiada nanti dan anak itulah yang akan bawa nama kita,” katanya.
Qi pada masa sama, mendedahkan dia sudah pun menemui calon isteri serta merancang untuk menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi.
Namun, katanya, dia masih belum sedia untuk mendedahkan identiti gerangan wanita pilihannya itu.
“Dalam masa terdekat kami akan berkahwin Insya-Allah. Bukan tidak mahu dedahkan siapa orangnya, cuma masa belum tiba.
“Kerjanya bukan di depan kamera, sebaliknya di belakang tabir,” katanya.
Qi ditemui pada sidang media pengumuman filem terbaru lakonannya, Babah di Menara Ken di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur semalam.
Filem Babah berkisahkan harapan yang didambakan. Ketika berdepan ujian getir yang merupakan sebahagian daripada kehidupan, seorang ayah perlu berusaha selagi berdaya dan berharap untuk merasa sisa kebahagiaan bersama anaknya hingga ke hujung nyawa.
Selain Qi, filem diarahkan Mohd Shah Faizul Ibrahim itu turut menampilkan barisan seperti Cristina Suzanne, Sweet Qismina dan Adam Lee.
Babah akan menemui penonton di pawagam tanah air bermula 5 Dis ini.
Sementara itu, Qi menjelaskan dia belum lagi bertunang dengan wanita berkenaan tapi sudah menghantar wakil untuk merisik.
Katanya, majlis itu berlangsung pada sambutan hari raya lalu.
“Kami belum bertunang, cuma saya sudah hantar wakil untuk merisik, jumpa kedua ibu bapanya raya lalu untuk maklumkan bahawa hubungan kami serius.
“Kalau ikutkan, perancangan (berkahwin) adalah pada Mei tahun depan tapi tempoh tidak cukup untuk membuat persiapan.
“Banyak perkara perlu diuruskan, termasuklah menyiapkan kad perkahwinan. Bagi saya, lapan bulan untuk persiapan tidak mencukupi,” katanya.