Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dua pelukis wanita hantar mesej isu pendidikan seks, Palestin

Hasrat mahu mendidik dan memberikan kesedaran mengenai pendidikan seks dan Palestin kepada masyarakat terutamanya anak muda, dua kartunis wanita tampil dengan pendekatan berbeza.

Kartunis muda, Ain Husniza Saiful Nizam, 20, berpandangan sistem pendidikan seksual yang lebih komprehensif perlu diperluaskan bagi menangani isu tersebut dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, Ain Husniza mengambil inisiatif dengan menghasilkan risalah berjudul Express to Empower yang mengajar golongan sasaran itu tentang seksual komprehensif.

"Kami percaya seni ada kuasa untuk mengubah persepsi masyarakat tentang feminisme, hak-hak wanita dan lain-lain.

"Risalah ini merupakan aktiviti tentang pendidikan kerana kita kena nak fahamkan kanak-kanak tentang had sesuatu perhubungan," katanya ketika ditemui di Festival Kartun Gen-Z di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur minggu lalu.

Risalah tersebut antara lain mengandungi aktiviti dan maklumat pendidikan seksual yang dipersiapkan agar sesuai untuk kanak-kanak berumur antara 9 hingga 12 tahun.

Ain Husniza

Dijual pada harga RM25, ia juga boleh dibeli secara dalam talian.

"Seni mampu memberi penerangan sesuatu isu dengan lebih mudah.

"Dalam risalah ini kami terangkan tentang kepentingan melindungi badan sendiri dan pada masa sama kita mengenal tubuh badan kita.

"Penting untuk memahamkan kanak-kanak tentang informasi ini kerana ia bukan saja untuk menjaga diri sendiri tetapi secara tidak langsung, menjaga kawan-kawan mereka juga," kata Ain Husniza yang pernah tular pada 2021 kerana isu jenaka rogol di sekolahnya.

Luah rasa sakit hati

Buku Express To Empower merupakan usahasama gerakan Pocket Of Pink yang terdiri daripada Ain Husniza sendiri, serta Nourrys, Karyn, Maya, Marsi, Kaveesha, ‘Ain, Iqsa, dan Ern See.

Mereka berkongsi idea bagi merangka, menulis dan mengolah illutrasi yang seterusnya diterjemahkan dalam buku interaktif tersebut.

Fokus utama mereka ialah untuk meningkatkan pengetahuan kanak-kanak tentang hak mereka.

Sementara itu seorang lagi kartunis, Ana Alasri, 28, menghasilkan karya berkaitan peperangan di Gaza dan pada masa sama mengecam keganasan Zionis ke atas Palestin.

Pemegang Ijazah Seni Halus UiTM itu menghasilkan seni lukisan atas sampul surat untuk dijual, dan hasil kutipan tersebut didermakan kepada kempen membantu rakyat Palestin.

Ana Alasri

Katanya ada beberapa sebab mengapa dia memilih karya sebegitu untuk menzahirkan perasaannya terhadap perang yang tidak kunjung tamat itu. Salah satu sebabnya, kata Ana, ialah mahu meluahkan rasa "sakit hati" yang dipendamnya sejak lama dulu.

"Saya buat karya mengenai Palestin ialah kerana saya rasa terkesan sangat dengan kejadian itu.

“Kita boleh menyampai mesej dan maklumat secara berbeza, justeru saya luahkan rasa sakit hati melalui seni,” katanya.

Antara karya Ana yang mendapat perhatian pengunjung - selain yang memaparkan konflik perang - ialah poskad Naga.

"Karya ini adalah sempena Tahun Baru Cina tahun ini, iaitu tahun naga. Tulisan mandarin ini bermaksud kekuatan manakala tulisan arab bermaksud solidariti," katanya.

Dia yang turut aktif membuat pameran di Pasar Seni di Kuala Lumpur juga menjelaskan karyanya dijual pada harga RM15. Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan boleh berurusan melalui laman sesawang atau media sosialnya.

"Tahun depan saya harap tidak perlu lagi melukis karya sebegini kerana saya benar-benar berharap perang ini menemui noktah," katanya.

Festival Kartun Gen Z merupakan acara yang memupuk nilai muhibah dan perpaduan dalam kalangan generasi muda yang digerakkan melalui seni lukisan kartun.

Festival itu turut disokong Yayasan Hasanah di bawah Khazanah Nasional Bhd telah berlangsung pada 19 dan 20 Okt lalu di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS