Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

ULASAN | Tahniah diucapkan kepada pengelola kem seni Cheka+ISM yang dilabel sebagai kem seni terbesar. Terbesar di Pahang, di Malaysia, di dunia atau di mana, kami tidak tahu.

Yang penting, itulah yang uar-uarkan oleh penganjurnya kepada orang banyak.

Kem seni di daerah Jerantut, Pahang itu adalah lanjutan daripada empat pogram yang dijalankan sebelum ini. Ia bermula di Ulu Dong kemudian ke Sungai Lembing dan Tasik Chini, lalu kemudiannya di Pulau Tioman.

Idea siri kem di bawah jenama +ISM itu asalnya adalah untuk membawa isme baru dalam dunia seni catan negara. Ia cita-cita yang besar, dan setelah melalui beberapa siri, kem itu hanya tinggal pada cita-cita.

Apa yang diprogramkan adalah sama seperti mana-mana kem seni yang diadakan iaitu sejumlah artis dikumpulkan untuk duduk bersama dan masing-masing menghasilkan karya.

Tidak ada sesuatu yang baru dari aspek pengkaryaan yang terhasil daripada aktiviti duduk beramai-ramai itu selain merapatkan persahabatan dalam kalangan pelukis.

Seniman yang terlibat akan sentiasa degil untuk mempertahankan gaya berkarya dan isi kandungan kerja masing-masing. Pada akhir pertemuan akan diadakan pameran yang mungkin pada hemat kami masih menghasilkan karya serupa seperti sebelum mereka menyertai kem tersebut.

Cuma semasa acara Gumum+ISM di Pulau Tioman, karya-karya yang terhasil sedikit baik daripada apa yang dipamerkan hasil pada kem-kem yang terdahulu.

Mungkin itu kesan daripada pemilihan artis yang menyertai kem berkenaan.

Kita mengharapkan sesuatu yang lebih baik untuk pameran Cheka+ISM yang dijadualkan pada pertengahan tahun hadapan.

Penglibatan penduduk setempat dilihat amat penting. Penganjur berusaha sedaya upaya untuk membawa penduduk tempatan mengikuti semua acara yang dijalankan.

Akan terhenti saja

Kami turut serta dalam semua siri kem berkenaan dan mendapati bahawa orang sekeliling belum betul-betul mahu bersungguh meraikan apapun bentuk kesenian di tempat mereka kecuali mereka terlibat terus di dalamnya.

Penduduk yang dibayar untuk menyediakan juadah tempatan, misalnya, akan bekerja dengan lebih baik manakala para pelajar yang dibawa khas untuk mengikuti bengkel-bengkel kesenian juga tampak begitu mengambil berat.

Kebanyakan murid adalah dari tingkatan lima dan enam. Mereka menyertai bengkel khas teknik menjawab soalan peperiksaan. Selain itu terdapat juga murid-murid dari sekolah rendah yang didedahkan kepada aktiviti seni.

Yang sedikit merungsingkan ialah, semua pelajar yang datang tidak kenal siapa Latiff Mohidin apabila ditanya.

Kemudian penyertaan penduduk tempatan dan para pelajar pada acara berkenaan akan berhenti di sana saja, kecuali jika program-program seperti itu membawa bersama mereka produk yang popular.

Untuk program di Jerantut itu, penganjur telah membawa beberapa orang penyanyi tempatan yang dikenali. Antaranya ialah Kumpulan Anak Kayan, penyanyi solo Bani dan juga seniman lagu-lagu tradisional terkenal Roslan Madun.

Persembahan popular tersebut sedikit mendapat sambutan kerana terdapat agak ramai penduduk setempat yang berkunjung ke acara berkenaan.

Hanya dalam kumpulan sendiri

Terdapat juga gerai-gerai kraf, buku dan juga makanan yang pelanggannya hanya terdiri daripada peserta program. Tentu lebih baik jika penduduk setempat juga datang untuk melanggan.

Institut Kraf Negara, Universiti Teknologi Mara, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) juga membuka reruai untuk memperkenalkan institusi masing-masing.

Templat acara-acara sebegini sudah menjadi rutin yang membosankan. Siapa saja yang diberikan dana untuk menjayakannya akan menggunakan rutin yang sama.

Jika keberhasilan program-program diukur dengan jumlah peserta dan sambutan orang sekeliling, maka program-program sebegini boleh dikatakan berjaya.

Atau dalam kata yang lebih popular, ia digelar sebagai "sederhana tapi meriah".

Pelukis yang terlibat dilihat lebih erat persahabatannya manakala orang tempatan pula akan merasa terhibur dengan penglibatan yang minimal.

Pun begitu, terdapat juga pelukis yang datang ke acara-acara sebegini (bukan di Jerantut) masih mahu duduk hanya dalam kumpulan mereka saja.

Mereka bergaul dan berkarya dalam kumpulan yang mereka anggap sekufu, dan hanya muncul apabila karya mereka perlu dipertontonkan.

Objektif membawa pelukis untuk berkampung dan saling bertukar-tukar pendapat jadi terhalang dengan adanya kumpulan-kumpulan seperti itu.

Program-program kem seni yang akan datang memerlukan hala tuju yang lebih jelas.

Ia mesti dimulakan dengan melantik seorang kurator yang tahu bagaimana acara-acara sebegitu mahu dibawa haluannya.

Dengan adanya perancangan yang lebih teliti antara penganjur dan kurator, mungkin acara-acara sebegini dapat lebih dihormati dan tidak dipandang sebagai sebuah acara untuk menghabiskan dana kerajaan.

Acara sebegini juga hanya akan dipandang sebagai pesta keramaian yang menggembirakan tetapi tidak membuahkan hasil yang bermanfaat.

Kem Seni Cheka+ISM ini didalangi oleh +ISM Pahang, Kelab Kataris Seni, Motac, Balai Seni Negara dan juga kerajaan Pahang. Program dijalankan di Lang Buana Eco Resort, Ulu Cheka, Jerantut.

Peserta terdiri daripada pelukis dari seluruh negara, selain turut dimeriahkan seniman dari Iran dan India.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS