Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Gabungan tok dalang muda, lagu moden segarkan wayang kulit

Enggan warisan negara hilang ditelan zaman, kumpulan Wayang Kulit Baizam Generation mencari kelainan agar seni tersebut terus menjadi perhatian ramai.

Justeru mereka mempersembahkkan aksi seni berzaman itu dengan membawa kelainan, iaitu menggunakan lagu-lagu moden.

Siapa sangka, lagu animasi seperti Boboiboy dan Didi and Friends digunakan dalam persembahan mencuri hati penonton di Festival Kartun Gen-z yang berlangsung pada 20 Oktober lalu.

Menurut tok dalang kumpulan itu, Kamarul Baisah Hussin, 41, memodenkan penceritaan dan penggunaan lagu dalam wayang kulit adalah salah satu cara berkesan untuk menarik minat anak muda.

"Mencabar untuk mendidik generasi muda mengenali wayang kulit pada masa kini beba mereka selalu leka dengan telefon genggam dan gajet.

"Justeru dalam persembahan, kami selitkan lagu-lagu terkini, misalnya lagu Boboiboy yang sesuai dengan zaman mereka.

"Kalau kami mainkan lagu tradisional biasanya memang tak menariklah bagi mereka," katanya.

Kamarul Baisah yang juga pensyarah Fakulti Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menambah, pada zaman serba moden ini, agak sukar menemukan generasi muda yang mengenali  wayang kulit.

Namun dia tetap bersyukur kerana kesemua anak lelakinya menunjukkan minat yang sama dalam seni wayang kulit.

Main peranan penting

Bukan saja pandai bermain muzik, malah setiap anak Kamarul Baisah kini boleh diharapkan untuk menjadi tok dalang.

"Anak-anak saya, kesemuanya sudah boleh menjadi tok dalang, saya memang bersyukur sebab masing-masing menunjukkan minat,” katanya selepas membuat persembahan di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.

Persembahan Wayang Kulit Baizam Generation itu memang menarik dan tidak hairanlah apabila perhatian orang ramai tertumpu kepada mereka semasa di pentas.

Mereka juga menggunakan lagu nyanyian Justin Bieber dan Baby Shark - selain menyelitkan tema muhibah dan perpaduan - yang menyaksikan penonton berdendang bersama.

Meskipun berlangsung sekadar 30 minit, nyanyian lagu tersebut menghiburkan ratusan penonton di Festival Kartun Gen-Z yang menghimpunkan ratusan kartunis muda.

Kumpulan Wayang Kulit Baizam Generation ditubuhkan pada 2010 itu diketuai Kamarul Baisah dan dilengkapkan dengan lima pemain muzik iaitu Kamarul Baihaqi, 14, yang bermain geduk dan gendang anak; Kamarul Baituttah, 11, yang bermain gong; Kamarul Baiquni, 9, bermain gendang ibu; dan Kamarul Bairon, 7, bermain canang.

Seorang lagi ialah adik Kamarul Baisah, Ahmad Ridzwan Hussin, 34, yang menjadi peniup serunai.

"Disamping mengekalkan seni tradisi, saya harap mereka boleh mengadunkan tradisi dengan elemen moden.

"Mereka main peranan penting untuk mengangkat kembali kesenian wayang kulit sampai bila-bila,” kata Kamarul Baisah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS