Sekali lagi emosi pelawak dan usahawan terkenal, Shuib ‘terbakar’ apabila muncul seseorang yang membuat kenyataan berbaur fitnah ke atas dirinya dan arwah isteri, Siti Sarah Raissuddin, di media sosial.
Shuib dilihat berang dan tidak berpuas hati dengan kenyataan wanita itu yang tidak senang apabila dia bercakap mengenai Siti Sarah.
“Jom kita bincangkan sama-sama apa maksud awak? Kalau saya posting tentang arwah isteri saya itu dikira 'menunggang' arwah bagi awak?
“Maaf nak tanya awak, saya memang tidak boleh bercakap tentang arwah isteri saya ya, bagi awak?
“Apabila saya bercakap pasal isteri saya itu dikira menunggang arwah isteri sayakah? Jawab soalan saya!” katanya.
Susulan itu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.
Bagaimanapun dia yang kini turut aktif sebagai personaliti audio siar masih memberi 'peluang' kepada individu terbabit menyelesaikan pertikaian berkenaan di luar mahkamah.
“Kau cari aku sebelum peguam aku cari kau,” katanya.
Sebelum itu, nama Shuib menuai kecaman pengguna Internet apabila dia mengundang bekas banduan yang terlibat dalam kes kejam, Khairul Azhar atau kini dikenali sebagai Abah Hayat sebagai tetamu audio siar yang dikendalikannya bersama Mamat dan Fizie.
Segelintir pihak dilihat tidak berpuas hati dengan tetamu yang diundang pada sesi wawancara tersebut kerana mereka dianggap tidak sensitif terhadap waris mangsa pembunuhan Abah Hayat.
Maaf tak diterima
Susulan itu, wanita yang memfitnah Shuib pula memuat naik kenyataan: "Soib (Shuib) kot. Bini (Siti Sarah) dia pun dia tunggang, apatah lagi banduan kerat lapan."
Siti Sarah meninggal dunia pada 2021 ketika dirawat akibat jangkitan Covid-19. Penyanyi lagu Kesetiaan itu berjaya melahirkan anak keempat dua hari selepas dia ditidurkan akibat tahap oksigen tidak stabil.
Melalui tinjauan Malaysiakini di media sosial, individu yang menimbulkan kemarahan Shuib sudah memohon maaf melalui Direct Message dan ruang komen Instagram pelawak berkenaan.
Namun, Shuib, 40, dilihat tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan individu terbabit serta enggan menerima permohonan maaf yang diberikan.
Justeru, pelawak itu berhasrat untuk menyelesaikan isu terbabit melalui tindakan undang-undang.
“Ini saja jawapan dia? Senangnya ya. Tunggu peguam saya akan hubungi awak. Insya-Allah, jumpa di mahkamah,” katanya.
Shuib, sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap seorang pengguna media sosial selepas menuduh dia menjadi anggota Freemason.
Dia juga pernah dituduh kononnya sengaja membiarkan Siti Sarah ditidurkan.