Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Vokalis asal Iron Maiden sempat beraksi atas kerusi roda
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 7:45 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

Vokalis asal band Iron Maiden, Paul Di’Anno, meninggal dunia pada usia 66 tahun di kediamannya di Salisbury, England.

Berita kematian itu dikongsikan syarikat rakaman metal, Conquest Music, bagi pihak keluarga mendiang.

“Conquest Music berbangga kerana pernah menaungi Paul Di’Anno sebagai artis memohon peminatnya untuk mengenang memori bersamanya,” katanya.

Meskipun tiada punca kematian didedahkan, kenyataan itu memberitahu bahawa Di’Anno sebelum ini bergelut dengan isu kesihatan yang teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Masalah itu juga memaksa dia untuk mengadakan persembahan di atas kerusi roda.

“Pun begitu, dia masih terus buat persembahan di seluruh dunia dan menggegarkan lebih 100 persembahan sejak 2023 walaupun mengumumkan persaraan pada 2020,” kata agensi itu yang dipetik RollingStone.

Di’Anno yang nama asalnya Paul Andrews pernah terbabit dalam dua album terawal band berkenaan iaitu Iron Maiden dan Killers - menjadikan karya itu sebagai titik penting kepada muzik new wave heavy metal Britain.

Dia meninggalkan kumpulan tersebut pada 1981 dan tempatnya digantikan oleh Bruce Dickinson. Di’Anno mengakui alasannya meninggalkan Iron Maiden adalah kerana gaya hidupnya sebagai “kaki parti 24 jam”.

Buat rasa bangga

Di’Anno menyertai Iron Maiden pada 1978 ketika band itu sudah mengadakan persembahan selama beberapa tahun tetapi masih belum memiliki barisan anggota yang mantap.

Suara kasar dimiliki Di’Anno membuktikan vokal dimilikinya itu sesuai untuk lagu sedang ditulis basis mereka, Steve Harris.

Dalam satu wawancara pada 2022, Di’Anno berkata, dia tidak menyalahkan Iron Maiden kerana memecatnya. Sebaliknya kata Di’Anno dia berharap dapat memberi sumbangan yang lebih kepada band tersebut.

“Selepas beberapa lama, ia membuat saya jatuh. Akhirnya, saya tidak dapat memberikan 100 peratus kepada Iron Maiden lagi dan ini tidak adil kepada band, peminat atau diri sendiri,” katanya.

Di’Anno juga berkata, kehadiran kedua-dua album tersebut sangat penting.

“Selepas bertemu Metallica, Pantera dan Sepultura, mereka beritahu album berkenaan yang membuatkan mereka menyukai muzik, hal itu membuatkan saya rasa bangga,” katanya.

Tidak sekadar itu, selepas meninggalkan Iron Maiden, Di’Anno bermain untuk beberapa band lain selama beberapa tahun termasuk Battlezone, Killers, Gogmagog selain menerbitkan karya solo.

Bulan lalu, Di’Anno menerbitkan album kerjaya retrospektif iaitu The Book of the Beast yang mengumpulkan pelbagai bahan pasca-Iron Maidennya. Ia juga menampilkan dua versi Iron Maiden klasik, iaitu Wrathchild dan Remember Tomorrow.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS