Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Isteri Da'i Syed panjat doa agar musibah diangkat
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 2:05 PM
Dikemaskini: 6:05 AM

Isteri Da’i Syed, Hana Ismail, memanjatkan doa agar musibah mereka sebagai suami isteri diangkat sempena sambutan ulang tahun kelahiran personaliti televisyen itu pada 20 Okt lalu.

Melalui ucapan dikongsikannya dengan peminat melalui Instagram Story, Hana turut mendoakan agar urusan individu yang memberikan sokongan kepada mereka dipermudahkan.

“Semoga Allah angkat musibah kita, permudahkan urusan kita dan permudahkan urusan mereka yang membantu dan mendoakan kita,” katanya.

Mengiringi ucapan itu, Hana memuat naik foto dia bersama Syed yang sedang memeluk anak perempuan mereka, Sharifah Fatma Nour Jamalullail yang lahir 14 Ogos lalu.

Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 30 Ogos lalu mendapati Syed bersalah atas tuduhan merogol seorang wanita lima tahun lalu.

Peserta program realiti televisyen itu yang memiliki nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan.

Bagaimanapun, Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas 21 hari mendekam dalam Penjara Kajang.

Hakim Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam Syed, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara hingga rayuan didengar dan diputuskan.

Selain kes itu, dia juga berdepan dua lagi pertuduhan membabitkan kes bersetubuh secara luar tabii serta mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskannya pada 31 Mei tahun lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS