Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Liam Payne mabuk, rosakkan bilik hotel sebelum jatuh balkoni
Diterbitkan:  Oct 17, 2024 1:03 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Bekas anggota One Direction, Liam Payne ditemukan mati selepas terjatuh dari sebuah balkoni hotel di Buenos Aires semalam, kata polis.

Dalam kenyataan, polis berkata, seorang lelaki yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol dilaporkan bertindak agresif.

Pengurus hotel pula berkata, dia mendengar bunyi bising di belakang hotel dan sejuru polis tiba, mereka mendapati seorang lelaki terjatuh dari balkoni biliknya.

Polis mengesahkan kematian penyanyi Britain itu yang ditemukan di laman hotel, lapor Reuters.

Penyanyi Charlie Puth melalui Instagram berkata, dia masih dalam keadaan terkejut selepas mengetahui berita itu.

“Saya begitu terkejut sekarang. Liam seorang yang baik. Dia antara artis terkemuka paling awal saya pernah bekerjasama. Saya tidak percaya dia sudah tiada,” katanya.

Payne mempunyai seorang anak lelaki bernama Bear dengan personaliti televisyen Britain yang juga penyanyi band pop, Girls Aloud, Cheryl pada 2017.

Menurut rakaman audio yang diperoleh daripada menteri pertahanan Buenos Aires, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang pekerja hotel yang meminta bantuan untuk meredakan seorang tetamu yang mabuk.

“Sewaktu dalam dalam keadaan sedar dia (Payne) menjahanamkan seluruh bilik dan kami perlu kamu hantar seseorang,” katanya dengan menambah nyawa tetamu itu dalam bahaya kerana bilik itu mempunyai balkoni.

Penyanyi For You itu menempa kemasyuran melalui One Direction - yang kini sudah dibubarkan - bersama anggota lain iaitu Harry Styles, Zayn Malik, Niall Horan dan Louis Tomlinson.

Pada 2 Oktober lalu, Payne menghadiri konsert jelajah Amerika Latin di Buenos Aries bersama bekas ahli kumpulan itu, Horan. Mereka sempat berkongsikan gambar bersama yang dirakam kepada peminat.

Payne yang menulis banyak lagu One Direction termasuk Night Changes dan Story of my Life, sebelum ini pernah bercakap secara terbuka mengenai perjuangannya terhadap kesihatan mental dan menggunakan alkohol untuk berdepan tekanan kemasyhuran.

Tahun lalu, dia menerbitkan video khusus buat peminat melalui saluran YouTube dengan bercakap mengenai keluarga dan kembali berkarya serta membuat persembahan selepas berhenti minum alkohol.

Dia berterima kasih kepada peminat yang banyak memberikan kata-kata sokongan sewaktu dia berdepan kesukaran hidup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS