Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Azlan Komeng rayu beg berisi wang dipulangkan
Diterbitkan:  Oct 16, 2024 5:42 PM
Dikemaskini: 9:42 AM

Pelakon aksi, Azlan Komeng merayu begnya yang mengandungi barang niaga dan sejumlah wang tunai yang hilang dalam satu kemalangan, dipulangkan semula.

Menurut Azlan, dia  tidak sedar ke mana beg itu tercampak atau hilang ketika terbabit dalam kemalangan di Kuala Lipis, Pahang pada 11 Oktober lalu.

Namun dia berharap sekiranya ada pihak yang menjumpai beg itu, mereka akan tampil untuk memulangkannya kepada dia atau isteri, Nur Nilam Ortiz.

“Pada hari kemalangan itu, kami tidak sedar duit hasil perniagaan hari itu tercampak ke mana atau terjatuh di dalam kereta.

“Kepada sesiapa yang terjumpa dan sudi untuk pulangkan, bolehlah hubungi saya atau isteri atau adik angkat saya,” katanya dalam video yang dikongsikan adik angkatnya, Jalil Razak di TikTok.

Azlan atau nama sebenarnya Muhammad Azlan Kamiran, 48, sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat, Johor.

Bintang Langgar itu dijangka akan menjalani satu lagi pembedahan untuk merawat pinggulnya yang patah.

Dalam kejadian Jumaat lalu, kenderaan jenis Perodua Kancil dipandu Azlan bertembung dengan lori Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyebabkan aktor itu mengalami kecederaan parah iaitu patah tangan kanan, kedua-dua kaki dan pinggul.

Azlan, isteri dan seorang anak mereka ketika itu dalam perjalanan ke tapak karnival.

Pada perkongsian video sama, Jalil turut berkongsi keadaan terkini Azlan yang masih terlantar di katil hospital.

Jalil juga berharap sesiapa yang menjumpai beg tersebut dapat memulangkannya semula kepada mereka.

“Siapa yang terambil beg ketika kemalangan itu berlaku, boleh pulangkan balik tak? 

“Dalam beg itu ada barang-barang niaga dan duit,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS