Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pertunjukan Great British Circus di Kelantan tampilkan ahli sarkas lelaki saja
Diterbitkan:  Oct 14, 2024 6:21 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Great British Circus bakal memukau penonton di Aeon Mall Kota Bharu, Kelantan dengan pertunjukan sarkas pertama seumpamanya dipersembahkan oleh ahli sarkas lelaki sahaja.

Menurut kenyataan media, pertunjukan ini "disusun khas" untuk negeri ditadbir PAS itu, di mana hanya ahli sarkas lelaki dibenarkan membuat persembahan secara langsung sejak peraturan itu dikuatkuasakan pada tahun 2002.

Salah seorang pengasasnya, Biliana Kirilova berkata, "Kami telah bekerja keras untuk menghasilkan pertunjukan ahli sarkas lelaki ini yang mematuhi garis panduan peraturan negeri dan berbesar hati dapat membawa Great British Circus dalam bentuk yang dapat dinikmati oleh semua penduduk di sini."

"Salah satu matlamat kami adalah untuk memastikan sarkas ini dapat disaksikan oleh sebanyak mungkin orang, termasuk mengambil kira pelbagai lapisan masyarakat dari segi bahasa, budaya, agama dan latar belakang ekonomi," tambahnya.

Kirilova berkata, bagi menjayakan pertunjukan ini, lebih ramai ahli sarkas lelaki ditambah dalam pertunjukan dengan aksi terbaru akan tetap memukau dan memberikan keseronokan serta hiburan kepada penonton.

Pertunjukan harian bakal diadakan dari 16 Oktober hingga 17 November.

Big Kid Entertainment (M) Sdn Bhd, penerbit sarkas Great British Circus yang berpangkalan di United Kingdom, mempersembahkan pertunjukan sarkas di Malaysia sejak 2014, dan ini merupakan lawatan pertama mereka ke Kelantan.

Pada tahun 2002, Kelantan mengumumkan larangan penghibur wanita membuat persembahan secara langsung di hadapan penonton lelaki.

Selain itu band rock dan pop juga dilarang berbuat demikian.

Larangan untuk penghibur wanita hanya terpakai kepada mereka yang berusia lebih 12 tahun, manakala kanak-kanak daripada semua jantina masih dibenarkan membuat persembahan secara langsung untuk orang ramai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS