Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Teater Tok Janggut 13 Liang bakal dipentaskan Jumaat ini

Teater ‘Tok Janggut 13 Liang’ yang diadaptasi daripada karya agung Sasterawan Negara Allahyarham S. Othman Kelantan berjudul 'Perwira' bakal dipentaskan di Dewan Utama Kampus Universiti Sains Malaysia (USM) di Kota Bharu pada 18 dan 19 Okt.

Pengarah 'Teater Tok Janggut 13 Liang’ Jihan Meghaa Ismail berkata teater berkenaan mengangkat kisah perjuangan Tok Janggut atau nama sebenarnya Mat Hassan Mat Munas dalam menentang ketidakadilan Inggeris berhubung undang-undang cukai yang ternyata membebankan rakyat.

Beliau berkata tiada bayaran dikenakan dengan Dewan Utama, USM yang menjadi lokasi pementasan teater itu mampu menampung lebih 1,000 penonton.

"Kita harap orang ramai khususnya rakyat Kelantan sama-sama hadir menonton teater ini kerana jalan ceritanya sangat menarik dan unik mengenai perjuangan pahlawan Melayu dalam mempertahankan kedaulatan tanah air," katanya dalam sidang media Pementasan Karya Agung 'Teater Tok Janggut 13 Liang' di Kota Bharu hari ini.

Teater berkenaan menampilkan barisan pelakon terkemuka seperti Datuk Hilal Azman yang memegang watak utama sebagai Tok Janggut dan Hasnul Rahmat, pemerintah Bristih yang dikenali 'Lagham Carter'.

Penulis skrip 'Teater Tok Janggut 13 Liang' Noormaziah Yaacob atau dikenali Lamia Aimal berkata beliau mengambil masa hampir dua minggu membuat kajian kerana perlu memastikan ketepatan jalan cerita.

"Kita cuba ketengahkan kisah pahlawan Tok Janggut kerana ia sejarah perjuangan di Kelantan dan sebenarnya ada kaitan dengan generasi kini untuk sama-sama menjaga tanah air, bangsa dan agama terutama orang Melayu supaya mengekalkan perpaduan.

"Saya yakin teater ini mendapat sambutan kerana ia memberi pengajaran kepada kita semua untuk sama-sama berjuang mempertahankan negara daripada ditindas serta dijajah," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS