Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
KJ menang selepas terbuang, 'tergelincir'
Diterbitkan:  Oct 12, 2024 6:20 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Tidak pernah terlewat untuk mempelajari sesuatu yang baru - itu mesej yang disebarkan oleh penyampai radio paling popular di negara ini berdasarkan 'pilihan raya' hiburan semalam.

Kata Khairy Jamaluiddin, dunia hiburan bukanlah gelanggang untuk dia sejak sekian lama kerana sudah terlibat dalam politik sebelum ini.

Bagaimanapun katanya dia "tergelincir" ke dunia begitu asing selepas "dibuang" dari medan yang diceburinya sejak puluhan tahun silam.

"Saya datang dari dunia politik. Tetapi saya tergelincir dari dunia asal saya dan dibuang (mungkin seketika, mungkin lama).

"Dunia hiburan dan media yang agak asing bagi saya telah menawarkan tempat untuk saya berteduh," katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.

Semalam bekas ahli parlimen Rembau dan mantan menteri kesihatan itu diumum sebagai penyampai radio paling popular di negara ini melalui Anugerah Bintang Popular BH.

Dia yang pernah menjadi ketua Pemuda Umno Malaysia mengalahkan empat finalis lain iaitu DJ Sonic, Haiza, Sharifah Shahirah dan Tyzo.

Untuk rekod Khairy sebelum ini memang biasa bergelumang dengan sepak terajang pemilihan - atau lebih tepat: pilihan raya. Bagaimanapun nasib Khairy tidak menyebelahinya apabila dia menyertai PRU lalu apabila kalah di kerusi parlimen Sungai Buloh.

Langkah politik anak bekas diplomat itu juga tersekat apabila dilihat lantang menyanggah kepemimpinan Umno sehingga dia akhirnya dipecat dari parti itu pada Jan 2023.

Begitu pun, popularitinya dilihat masih berada di tahap tinggi sehingga dilamar oleh stesen HotFM milik anak syarikat Media Prima Bhd.

Kata Khairy di stesen radio itu dia dipertemukan dengan beberapa individu hebat yang mengajarnya selok-belok dunia yang baru buatnya.

"It’s never too late to learn something new. Even for an old guy like me! (Tidak pernah terlalu lewat untuk belajar sesuatu yang baru. Waimah untuk orang tua macam saya!)" katanya.

Khairy juga mengulangi ucapannya malam tadi mengenai "rezeki" yang sudah ditetapkan untuk seseorang.

“Dalam hidup ini, kalau pintu rezeki ditutup, Allah akan membuka pintu rezeki yang baru, never give up (jangan pernah menyerah)!" katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS