Menghampiri tiga dekad dalam industri hiburan tanah air, penyanyi tersohor Siti Nurhaliza, 45, sekali lagi membanggakan negara apabila berjaya tersenarai dalamThe Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslimedisi 2025.
Berada dalam senarai itu sejak 2016, pelantun lagu hit meruntun kalbu Kesilapanku Keegoaanmu ini tersenarai di bawah kategori seni dan budaya, bermakna sudah sembilan tahun anak seni kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini berjaya berada sebaris dengan individu yang bukan calang-calang.
Menyifatkan kejayaan itu sebagai penghargaan cukup bermakna, ibu kepada Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa ini percaya pencapaian tersebut merupakan berkat usahanya bersama-sama suami Khalid Mohamad Jiwa dalam membantu rakyat Palestin menerusi Yayasan Nurjiwa.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dan terharu tersenarai dalamThe World's 500 Most Influential Muslims. Apa yang saya buat ini pun untuk agama serta dunia Islam juga.
“Walaupun kategori itu untuk anak seni, saya rasa ia juga bersangkut paut dengan Yayasan Nurjiwa yang kita bantu di Gaza, Palestin serta rakyat Malaysia yang terkesan dengan kejadian bencana alam,” katanya ketika sidang media The Journey of Sound di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Siti Nurhaliza yang hingga kini kekal sebagai penyanyi nombor satu negara berkata dirinya terpanggil untuk memikul tanggungjawab menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin tanpa henti atas nama persaudaraan sesama Islam, malah turut mempunyai anak angkat di sana.
“Saya ada tanggungjawab di sana… saya masih ada anak-anak angkat di sana dan pasukan Yayasan Nurjiwa pun masih ada di sana … cikgu-cikgu yang tak mengajar, mereka mengambil alih tugas mengedar makanan untuk Yayasan Nurjiwa setiap hari.
“Saya tidak pernah putus mendoakan semoga semuanya, termasuk pasukan kami, sentiasa selamat daripada sebarang musibah agar bantuan dapat terus disalurkan,” kata anak seni yang sebelum ini pernah digelar sebagai Voice of Asia.
Menerusi buku terbitan Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan itu, Siti Nurhaliza tersenarai bersama-sama individu berpengaruh dari seluruh dunia termasuk pemimpin negara Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Di negara ini, beliau juga menjadi artis paling banyak menerima anugerah hinggakan tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada 2001 dan kekal pemegang rekod itu hingga kini.
Sepanjang kariernya sebagai anak seni, beliau merangkul 13 trofi Penyanyi Wanita Popular serta tujuh kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH, dengan keseluruhan lebih 300 anugerah tempatan dan luar negara menjadi milik penyanyi kesayangan ramai ini.
- Bernama