Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sean 'Diddy' Combs akan dibicarakan 5 Mei tahun depan
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 7:01 PM
Dikemaskini: 11:01 AM

Mahkamah menetapkan perbicaraan penyanyi rapper AS, Sean Diddy Combs atau P Diddy, atas pelbagai tuduhan termasuk pemerdagangan seks dijalankan pada 5 Mei 2025.

Hakim Persekutuan, Arun Subramanian, dalam prosiding di New York semalam berkata, Combs akan kekal di penjara di sepanjang perbicaraan berjalan.

Penyanyi lagu I’ll Be Missing You itu didakwa bulan lalu atas tiga pertuduhan jenayah iaitu mendera wanita secara seksual, memaksa mereka terbabit dalam pesta seks yang didorong oleh dadah menggunakan ancaman, dan keganasan.

Dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Combs, 54, ditahan pasukan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS di sebuah hotel di Manhattan. Dia kemudian menghadapi pertuduhan pemerdagangan dan penderaan seks pada 17 Sept lalu.

Jutawan itu juga dinafikan untuk diikat jamin sebanyak dua kali kerana pendakwa raya menyuarakan kebimbangan mengenai gangguan yang dikemukakan oleh saksi.

Semasa memasuki ruang mahkamah semalam, Combs yang memakai baju dan seluar berkedut berwarna cerah senyum dan melambai ke arah ibu dan anak-anaknya yang menghadiri prosiding kes tersebut.

Pendakwa Raya AS, Emily Johnson, berkata masih terdapat lebih banyak bukti untuk dikemukakan dalam perbicaraan tersebut. Dia juga menegaskan sebanyak 96 peranti elektronik dirampas pada Mac lalu dan Combs mungkin dihadapkan denngan lebih banyak pertuduhan.

Media antarabangsa pula melaporkan, tuduhan terhadap pemenang Grammy itu semakin meningkat sejak tahun lalu, apabila bekas kekasihnya, penyanyi Cassie - atau nama sebenarnya Casandra Ventura - mendakwa Combs melakukan keganasan seksual selama lebih sedekad terhadapnya.

Antaranya melibatkan kekerasan fizikal, dadah, dan serta pemerkosaan pada 2018.

Susulan itu, banyak tindakan undang-undang sivil diambil sekali gus menggambarkan Combs sebagai seorang lelaki ganas yang menggunakan status selebritinya untuk mencari mangsa, sama ada perempuan atau bahkan lelaki.

Baru-baru ini peguam Tony Buzbee melaporkan 120 individu memfailkan dakwaan terhadap Combs atas tuduhan menyerang atau mengeksploitasi mereka, dengan sebahagian daripada mangsa adalah kanak-kanak yang bercadang mengambil tindakan undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS