Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Konsert bersama Siti Nurhaliza ruang Judika 'balas dendam'
Diterbitkan:  Oct 11, 2024 12:55 PM
Dikemaskini: 4:55 AM

Pemilik vokal mantap Indonesia, Judika, menganggap konsert yang bakal diadakan bersama Siti Nurhaliza Tarudin di Stadium Merdeka pada 14 Dis ini sebagai “impian menjadi kenyataan”.

Judika yang nama lengkapnya Judika Nalon Abadi Sihotang itu berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju sejurus selepas mendapat tawaran berkolaborasi di konsert The Journey of Sound bersama penyanyi lagu Cindai itu.

"Bila saya dengar nama Datuk (Siti Nurhaliza) terus tidak ada kata-kata lain langsung kerana memang mengaguminya dari dulu, jadi apabila diminta untuk buat konsert dengan dia, saya terus pilih tarikhnya.

"Salah satu impian saya untuk nyanyi bersama bakal jadi kenyataan.

“Dulu waktu Datuk buat konsert di Axiata Arena, saya hanya datang jadi tetamu saja.

"Waktu saya pula buat konsert di sana (Axiata Arena) dan ingin minta Datuk nyanyi sekali, jadualnya pula tidak sesuai. Jadi konsert ini akan jadi konsert 'balas dendam' kerana boleh berkolaborasi,” katanya kepada pemberita ketika sidang media The Journey of Sound, Kuala Lumpur semalam.

Malah pelantun lagu Aku Yang Tersakiti itu juga teruja untuk melakar sejarah menjadi antara penyanyi terawal membuat persembahan di stadium yang boleh memuatkan sehingga 26,000 peminat itu setelah siap diubah suai.

Siti Nurhaliza pula menyifatkan Judika sebagai penyanyi serba boleh dan yakin peminat yang hadir pada konsert anjuran Universe Gateaway itu tidak akan kecewa dengan persembahan yang bakal disajikan selama hampir tiga jam.

“Judika ini senang sangat, sebab kalau saya bagi lagu orang lain seperti Cakra Khan, Faizal Tahir pun, suaranya semua boleh 'masuk' malah dia boleh buat stail tersendiri.

"Saya suka sangat terutamanya apabila dapat bersama atas pentas dengan artis yang ada karisma, karakter serta aura memukau,” katanya.

Menurut Siti Nurhaliza, pemilihan lagu ketika konsert masih lagi di peringkat perbincangan kedua-dua pihak.

"Tetapi apa yang pasti selain nyanyi duet, saya juga akan ada bahagian solo, begitu juga dengan Judika,” katanya.

Walaupun The Journey of Sound akan menjadi konsert mega penyanyi dari dua negara berbeza, namun ia dibuat dengan tujuan sama iaitu mengukuh dan mengeratkan silaturrahim peminat muzik di Nusantara.

Peminat boleh membeli tiket di www.ticket2u.my bermula 12 Okt pada harga antara RM199 hingga RM1,299.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS