Penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur apabila namanya tersenarai sekali lagi dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims bagi edisi 2025.
Menurut Siti Nurhaliza, penghargaan itu disifatkannya selari dengan usaha digembleng oleh Yayasan Nurjiwa dalam membantu rakyat Palestin yang menderita di Gaza.
“Alhamdulillah saya rasa bersyukur dan terharu kerana tersenarai dalam Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia.
“Ia satu penghargaan atas apa yang saya lakukan untuk agama.
“Walaupun kategori itu adalah untuk anak seni tapi usaha dilakukan bersangkut-paut dengan Yayasan Nurjiwa yang saya dan suami usahakan sehabis-baik untuk penduduk Gaza,” katanya.
Menurut Siti Nurhaliza, selain Palestin, Yayasan Nurjiwa turut membantu meringankan beban rakyat Malaysia khususnya yang terkesan dengan bencana alam.
Siti Nurhaliza berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang media konsert The Journey of Sound: Judika x Datuk Seri Siti Nurhaliza, di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
The Journey of Sound bakal menemui peminat di Stadium Merdeka pada 14 Disember.
Melalui hantaran yang tular di platform X, penyanyi lagu Sehebat Matahari itu dikatakan sudah 10 tahun berturut-turut mengekalkan kedudukannya dalam senarai Top 500 Muslim paling berpengaruh di dunia bagi kategori seni dan budaya.
Berdasarkan catatan buku yang diterbitkan oleh Royal Islamic Strategic Studies Centre, Amman, Jordan, Siti Nurhaliza turut tersenarai bersama individu berpengaruh di seluruh dunia termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain Siti Nurhaliza, penyanyi Hafiz Hamidun juga tersenarai dalam pengiktirafan tersebut bagi kategori yang sama untuk mewakili negara Malaysia.
Tambah Siti Nurhaliza, dengan yang pengiktirafan yang dianugerahkan kepadanya, dia lebih bersemangat untuk menggalas tanggungjawab menyalurkan bantuan kepada Palestin.
“Saya ada tanggungjawab di sana, saya masih ada anak angkat di sana.
“Pasukan yayasan kami juga ada di sana untuk agihkan bantuan.
“Saya selalu berdoa pasukan saya terselamat dari apa-apa yang berlaku di sana supaya kami dapat terus menyalurkan bantuan kepada mereka,” katanya.