Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Fazura Studios: Kenyataan pengurus pendapat peribadi semata-mata
Diterbitkan:  Oct 10, 2024 5:32 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Syarikat Fazura Studios menegaskan pelancaran lagu Bertahan Demi Cinta pada hari ini dibuat atas keputusan bersama syarikat rakaman terkemuka Indonesia, HITS Record.

Fazura Studios dalam kenyataan hari ini berkata, pelancaran lagu itu tiada sebarang kaitan dengan perkembangan terkini urusan peribadi Nur Fazura Sharifuddin malah pihaknya tidak berniat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

“Tarikh pelancaran rasmi lagu ini telah diputuskan secara bersama beberapa bulan yang lalu oleh Fazura Studios dan HITS Record kerana keistimewaan tarikh 10 Oktober 2024 (10-10-2024).

“Perancangan pelancaran kedua-dua lagu ini telah dibuat pada beberapa bulan yang lepas atas keperluan kerjasama dan persediaan awal termasuk untuk pelancaran di platform digital terkemuka,” katanya.

Lagu duet itu dinyanyikan oleh Nur Fazura dengan bekas suaminya, Fattah Amin.

Terdahulu, peminat meluahkan rasa kurang senang atas pemilihan tarikh lagu tersebut dilancarkan kerana ia disifatkan tidak bersesuaian dengan situasi semasa.

Pengurus Nur Fazura, Iman Tang pula berkata, artisnya itu tidak dimaklumkan berkenaan tarikh tersebut bahkan menyelar tindakan syarikat rakaman terbabit kerana dianggap ingin mengambil kesempatan atas perceraian yang berlaku.

Pada 7 Oktober lalu, Fattah melafazkan talak satu terhadap Fazura di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam, Selangor.

Fazura dan Fattah berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Fatima Aisya, 4.

Pada masa sama, Fazura Studios menegaskan kenyataan dikeluarkan Iman berhubung pemilihan tarikh pelancaran lagu itu adalah pendapatnya sendiri semata-mata.

“Ia tidak mewakili syarikat Fazura Studios dan HITS Record.

“Kedua-dua syarikat juga berpegang kepada perancangan yang telah dibuat lebih awal sebelum ini, yang mana tiada sebarang penglibatan oleh pengurus kepada Nur Fazura Sharifuddin.

“Sehubungan itu, diharapkan kenyataan ini memberikan pencerahan yang wajar kepada semua pihak,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS