Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengsan tidak lemahkan semangat Jackie Chan lakonkan lagak ngeri
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Meskipun hebat dalam lakonan aksi lagak ngeri hingga dikagumi di mata dunia, bintang antarabangsa kelahiran Hong Kong, Jackie Chan tidak terkecuali berdepan perkara tidak diingini.

Jackie berkata, dia pernah pengsan ketika menjalani penggambaran filem Panda Plan ketika melakukan aksi lagak ngeri.

Menurutnya, sebelum itu, fikirannya jadi kosong dan seperti tidak menyedari apa yang sedang berlaku.

“Tiba-tiba saya berasa lemah dan nak rebah. Kemudian kru terus berlari ke arah saya untuk memastikan saya selamat.

“Saya seperti tidak sedar dan bertanya pada mereka: Apa dah jadi?

“Apabila diberitahu saya pengsan, rasa macam tak percaya pula dan anggap mungkin ia berlaku kerana saya tahan nafas ketika melakukan aksi itu,” katanya dalam kenyataan.

Namun, Jackie, berkeras menyatakan dia dalam keadaan baik tetapi memerlukan bantuan untuk bangun.

Selepas berehat seketika, pelakon filem Rush Hour itu berkata, dia sedia untuk kembali menjalani penggambaran bagi adegan sama.

“Ia bukan masalah besar, saya perlu meyakinkan semua orang bahawa saya baik-baik saja.

“Jika tidak, mereka akan menggunakan pelagak ngeri menggantikan saya.

“Jika saya hanya duduk di tepi, sambil lihat pihak produksi guna pelagak ngeri, saya akan berasa sangat bersalah,” katanya.

Walaupun sudah berusia 70 tahun, Jackie dilaporkan masih lagi aktif melakukan sendiri aksi berbahaya tanpa menggunakan pelakon pengganti.

Keberanian Jackie membuatkan kru terharu dengan dedikasi dan sikap profesionalisme yang dipamerkannya.

Dia antaranya menunggang motosikal besar menembusi tingkap hingga hilang kawalan dan mengakibatkannya tercampak sejauh beberapa meter.

Dalam filem Panda Plan, Jackie ditugaskan untuk menjaga keselamatan anak panda Hu Hu.

Namun, Hu Hu menjadi sasaran organisasi jenayah anatarabangsa.

Panda Plan bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS