Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Pengurus Fazura: Perceraian bukan bahan jenaka
Diterbitkan:  Oct 9, 2024 12:09 PM
Dikemaskini: 5:50 AM

Pengurus Nur Fazura, Iman Tang menyelar syarikat rakaman Indonesia atas tindakan  mempromosi lagu duet penyanyi dan pelakon itu bersama bekas suaminya baru-baru ini yang didakwa boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan peminat.

Menurut Iman, pihaknya gusar sekiranya ada yang menjadikan perceraian sebagai gimik untuk melariskan produk.

“Saya juga tidak tahu butiran kontrak tersebut kerana tidak menguruskan kerjaya muzik Fazura. Tapi bagi saya, tidak perlu pun promosi lagu itu kerana isu rumah tangga lebih penting. Ini bukan bahan jenaka. 

“Kalau kita tidak ambil serius, generasi akan datang ingat perceraian sebagai benda main-main seperti mahu promosi produk kemudian rujuk kembali. Apa akan jadi dengan pendidikan agama kita? Hancur.

“Sebab di akhirnya, orang akan ingat kita sekadar mahu jual lagu. Gaduh-gaduh rupanya sebab mahu jual tudung atau sambal ikan bilis,” katanya.

Malah, Iman menegaskan pihaknya langsung tidak dimaklumkan mengenai penerbitan lagu berjudul Bertahan Demi Cinta itu yang dijadualkan esok.

“Lagu itu dirakamkan sudah lama dengan sebuah label Indonesia, Hits Records, tapi pihak mereka tidak terbitkan. Tiba-tiba hari ini (kelmarin) keluar berita mengatakan lagu itu akan dikeluarkan.

“Saya sempat tanyakan kepada Fazura, dia juga tidak dimaklumkan mengenai perkara itu. Tahu-tahu lagu sudah mahu keluar. Sudah tentu Fazura tidak bersetuju, tiada siapa setuju,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Terdahulu, Hits Records mengumumkan bakal melancarkan lagu duet Fattah dan Fazura di platform media sosial rasmi mereka, esok. 

Perkara itu sekali gus mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat yang menyifatkan tindakan itu tidak sesuai dengan senario semasa.

Hal itu kerana, Fazura dan Fattah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, pada 7 Oktober lalu. 

Justeru, Iman menyifatkan pihak syarikat rakaman terbabit hanya mahu mengambil kesempatan selain tidak menghormati perasaan Fazura ketika ini.

Katanya, Fazura juga sudah mengajukan perkara tersebut kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.

“Saya tidak tahu apa perancangan mereka. Bagi saya sangat tidak sesuai jika lagu ini dikeluarkan pada masa sekarang. 

“Bagi syarikat itu, mungkin mereka rasa orang akan dengar lagu tersebut. Tapi secara peribadi, saya rasa mereka hanya menangguk di air keruh. 

“Sebagai Muslim, kita hormatilah jika seseorang melalui masa yang sukar. Jangan ambil kesempatan. Pakai otak.

“Saya tidak pasti apa keputusan akhir, pihak Fazura sudah minta peguam untuk berurusan dengan pihak syarikat tersebut,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS